Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

AirAsia cabar Mavcom berhubung perkhidmatan di klia2, PSC


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman, mencabar Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kerana menolak untuk membuat keputusan mengenai pertikaian antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) dan syarikat penerbangan tersebut.

AirAsia berkata pertikaian itu mengenai caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan tahap perkhidmatan yang lemah di klia2.

Syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, Mavcom mempunyai kewajipan berkanun untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu selepas pengantaraan antara pihak-pihak tersebut gagal, atau dianggap telah gagal.

“Keengganan untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu adalah bertentangan dengan Seksyen 74 hingga 78 Akta tersebut,” menurut AirAsia dalam kenyataan hari ini.

AirAsia dan AirAsia X turut memohon perintah mandamus untuk memaksa Mavcom membuat keputusan mengenai pertikaian itu antara mereka dan MASSB mengikut kewajipan berkanunnya.

Syarikat penerbangan itu berkata MASSB telah memfailkan beberapa tindakan mahkamah, termasuk dakwaan fitnah terhadap eksekutif tertinggi kumpulan AirAsia kerana membuat kenyataan media terhadapnya, dan menuntut syarikat penerbangan tersebut membayar jumlah PSC yang tidak dikutip kepada mereka.

Kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah itu mempertikaikan tuntutan pengendali lapangan terbang tersebut dan telah memohon untuk membatalkan tindakan itu.

Syarikat tersebut turut membuat tuntutan sebanyak RM480 juta terhadap MASSB atas kerosakan yang ditanggung susulan daripada perkhidmatan yang lemah di klia2.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel