Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ambil peluang yakinkan pelabur guna Malaysia sebagai laluan ASEAN


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu mengambil peluang meyakinkan pelabur asing untuk menggunakan negara ini sebagai laluan bagi menembusi pasaran ASEAN.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ASEAN adalah antara pasaran terbesar dengan jumlah penduduk hampir 650 juta orang.

"Banyak syarikat besar sedang mencari lokasi untuk berpindah ke rantau ini dan Malaysia mempunyai potensi baik untuk pelaburan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata infrastruktur Malaysia yang baik dan pelbagai serta mempunyai tenaga kerja mahir membolehkan negara menarik lebih banyak pelaburan dari luar.

Beliau diminta mengulas laporan mengenai kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka perlahan pada suku pertama berikutan pengurangan penggunaan dan permintaan global yang perlahan susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Laporan mengikut pungutan pendapat oleh Reuters dengan 13 ahli ekonomi mengunjurkan ekonomi berkembang pada kadar penengah atau median 4.3 peratus pada Januari-Mac, lebih perlahan berbanding 4.7 peratus yang dicatat pada suku keempat.

Mengulas mengenai rayuan peserta Felcra Berhad (Felcra) yang mahu kerajaan menyuntik dana berjumlah RM930 juta untuk membantu kehidupan mereka, Mohamed Azmin berkata kerajaan akan melihat  kemampuan kewangan negara sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya beliau telah menerima permohonan rasmi daripada pihak pengurusan Felcra dan mengemukakannya kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian.

"Ini semua masalah legasi yang kerajaan perlu tanggung namun kita perlu terima hakikat bahawa kedudukan kewangan negara amat membebankan. Bagaimanapun, kerajaan akan mencari jalan untuk membantu peneroka Felcra," katanya.

Media melaporkan kebanyakan peserta Felcra dikatakan hidup melarat sehingga ada yang terpaksa bergelap dan terputus bekalan air kerana tidak mampu membayar bil utiliti tersebut.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel