Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek perintis RFID di tol perlu dilanjutkan


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Projek perintis Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol perlu dilanjutkan berikutan penambahbaikan sistem perlu dilakukan sebelum dapat digunakan secara rasmi oleh orang ramai. 

Timbalan Pengurus Besar Stormwater Management and Road Tunnel (SMART), Mohd Noor Ali berkata pada masa ini, syarikat-syarikat konsesi sedang bekerjasama dengan Touch ‘n Go (TNG) untuk mengumpul maklum balas daripada pengguna yang telah berdaftar dalam projek perintis itu. 

"Sepanjang tempoh percubaan itu, kami mendapati beberapa penambahbaikan perlu dilakukan sebelum ia betul-betul dapat digunakan secara rasmi antaranya tahap pengesanan terhadap kod bar daripada pelekat kereta serta kesinambungannya terhadap aplikasi 'E-Wallet'. 

"Berbanding dengan kad fizikal yang menolak baki secara terus, RFID perlu digunakan bersama-sama dengan aplikasi namun kami mendapati masih ada 'masalah', jadi penambahbaikan itu perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan SMART bersama media di sini, hari ini. 

Beliau berkata pada masa sekarang, tempoh percubaan bagi projek perintis RFID bergantung kepada laporan dan maklum balas daripada syarikat-syarikat konsesi tol dan orang ramai.

"Setakat ini, pihak konsesi ada menerima beberapa maklum balas berkenaan sistem RFID seperti palang tidak dibuka, ‘pengesanan yang lembap’ dan terlebih caj.

Sekiranya sistem dapat ditambah baik, maka penggunaan secara rasmi akan diumumkan oleh kerajaan kelak," katanya. 

Sistem RFID menggunakan cip frekuensi radio yang terkan­dung dalam satu pelekat ditampal pada sesebuah kenderaan dan akan menggantikan pera­nan peranti tag pintar (SmartTAG).

Secara keseluruhan, terdapat 167 lorong TNG RFID yang beroperasi di 23 lebuh raya, melibatkan 58 plaza tol, antaranya Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Sprint, Plaza Tol Loke Yew (Lebuhraya BESRAYA) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel