m2vh46UL20w Koperasi jual rusa salai masak lemak cili api jana pendapatan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Koperasi jual rusa salai masak lemak cili api jana pendapatan


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Unik, sedap dan murah. Itu gambaran diberi pengunjung bazar Ramadan berhampiran Wisma Persekutuan di sini mengenai daging rusa salai masak lemak cili api yang dijual hanya RM10 untuk setiap pek 250 gram.

Makanan eksotik itu adalah antara 20 menu berbuka puasa yang dijual Koperasi Usahawan Groom Big Terengganu Berhad (Kuganu) sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengerusi Kuganu, Hawa Abd Rahman, 58, berkata semua 70 anggota koperasi itu perlu menjual pelbagai jenis juadah secara bergilir di bazar Ramadan itu sebagai satu daripada usaha untuk menjana pendapatan koperasi.

"Antara yang menjadi perhatian pengunjung ialah daging rusa salai yang  dimasak lemak cili api menggunakan resipi tradisional Negeri Sembilan.

"Kebanyakan pengunjung teruja dengan menu eksotik ini kerana tidak pernah menemuinya di mana-mana bazar Ramadan di Terengganu setakat ini," katanya kepada Bernama.

Lebih istimewa, daging rusa tersebut adalah daging segar kerana ia dipelihara sendiri oleh seorang anggota Kuganu yang merupakan pemilik sebuah resort di Gong Badak iaitu Quinara Al Safir.

Bernama turut berkesempatan melawat pusat ternakan rusa di belakang resort tersebut yang menempatkan kira-kira 20 ekor rusa ketika ini.

Chef di resort berkenaan, Faizuddin Yusof berkata seekor rusa bersaiz sederhana secara puratanya mempunyai antara 26 hingga 30 kilogram (kg) daging dan 15 hingga 20kg tulang.

"Rusa peliharaan resort ini akan dihantar untuk proses penyembelihan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sini dan kemudiannya disalai selama enam jam.

"Ini adalah kali pertama saya memasak gulai daging rusa salai untuk dijual di bazar Ramadan yang disertai Kuganu. Namun, kami tidak menjualnya dalam jumlah yang banyak kerana mahu menjadikannya menu eksklusif yang ditunggu-tunggu oleh pengunjung di bazar tersebut," katanya.

Seorang pengunjung, Haslina Rusli, 39, berkata beliau sudah lama mengidam untuk makan daging rusa sejak mengandungkan anaknya yang ketiga dan begitu teruja sebaik diberitahu rakannya kewujudan menu eksotik di bazar Ramadan tersebut.

"Tak sangka pula, ada juga daging rusa yang dijual di Terengganu kerana setahu saya menu itu hanya boleh didapati di sekitar Kuantan atau Cherating di Pahang. Alhamdulillah, rezeki saya dapat juga menikmatinya," katanya. 

Seorang lagi pengunjung, Nur Halima Sidik, 23, berkata beliau gembira apabila mendapat tahu daging rusa salai masak lemak cili api ada dijual dengan harga yang berpatutan di bazar tersebut.

"Saya bukan orang Negeri Sembilan, tetapi pernah menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai. Jadi, pernahlah rasa masak lemak cili api dan rindukan masakan itu.

"Bila ada kawan maklumkan mengenai daging rusa salai itu di sini, terus saya tempah untuk berbuka puasa hari ini. Jadi terubat juga rindu saya untuk menikmati makanan kegemaran penduduk negeri yang mengamalkan Adat Perpatih itu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan lulus RM34 juta untuk sambung bina rumah kedua generasi Felcra

 
     

Najib tidak pernah tanya mengenai terlebih pengeluaran dalam akaunnya - Saksi

 
     

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel