Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

130 murid kurang berkemampuan terima sumbangan Yayasan Petronas 


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Syukur dan tak sabar menunggu ketibaan Aidilfitri.

Ia antara reaksi seramai 130 kanak-kanak yang kurang bernasib apabila berpeluang membeli belah barangan kelengkapan Hari Raya menerusi program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas 2019.

Kanak-kanak tersebut merupakan murid sekolah rendah yang tinggal di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang dan Batu Rakit, di sini.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata menerusi program tersebut kesemua murid tersebut dibawa ke pusat membeli belah sekitar Kuala Terengganu dengan baucer bernilai RM300 seorang.

"Selain itu, mereka turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM100 seorang bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. Kami berharap sumbangan Yayasan Petronas ini dapat membantu meringankan bebanan kewangan keluarga mereka," katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa bersama penerima sumbangan dan keluarga mereka di Stadium Negeri baru-baru ini. 

Wan Hasnan berkata bermula 8 Mei hingga 15 Jun nanti, Yayasan Petronas bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan Petronas bekerjasama menyampaikan sumbangan sepanjang bulan Ramadan, diikuti sambutan Kaamatan, Gawai dan juga Hari Raya Aidilfitri.

"Sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan harian serta kelengkapan rumah dan hamper berjumlah RM815,000 akan disampaikan kepada 2,800 buah keluarga golongan kurang bernasib baik di 13 buah negeri seluruh negara," katanya. 

Program musim perayaan Sentuhan Kasih Yayasan Petronas merupakan sebahagian daripada fokus mereka untuk aspek kesejahteraan komuniti dan pembangunan. 

Ia dianjurkan bersempena sambutan perayaan-perayaan utama di Malaysia sebagai saluran bagi Yayasan Petronas bekerjasama dengan komuniti dalam menyediakan keperluan sara hidup dan membina keyakinan diri.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel