Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

TNB Terengganu jamin bekalan elektrik sepanjang Aidilfitri mencukupi


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu menjangkakan penggunaan bekalan elektrik akan bertambah 30 peratus menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.

Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Terengganu, Mohd Nazri Puteh berkata pihaknya memberi jaminan bekalan akan mencukupi semasa sambutan Aidilfitri nanti memandangkan kapasiti bekalan elektrik di negeri Terengganu masih lagi melebihi daripada penggunaan.

"Ketika ini, proses pemeriksaan dan penyelenggaraan giat dilakukan di semua stesen untuk memastikan sistem bekalan elektrik dalam keadaan bersedia untuk menampung peningkatan beban elektrik berikutan kepulangan ribuan anak perantau ke Terengganu sepanjang Aidilfitri nanti.

"TNB Terengganu juga akan memastikan semua anggota kerja dan segala keperluan genset berada dalam keadaan bersedia untuk meminimakan gangguan bekalan elektrik seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa TNB bersama warga media Terengganu yang turut dihadiri Timbalan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Syafri Husnaini Mohamad di sini malam tadi.

Ketika ini, TNB Terengganu mempunyai kira-kira 900 kakitangan di seluruh negeri yang 10 peratus daripada mereka akan bertugas secara bergilir-gilir mengikut syif pada hari raya nanti.

Ditanya mengenai jumlah gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada perayaan Aidilfitri sebelum ini, Mohd Nazri berkata jumlahnya terlalu kecil iaitu tidak melebihi 1.5 peratus daripada jumlah 370,000 pelanggan TNB di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, beliau berkata TNB juga dari semasa ke semasa terus merancang meningkatkan kapasiti bekalannya untuk memenuhi keperluan pertambahan pengguna termasuk pelabur dari luar negara terutama di beberapa kawasan perindustrian di Terengganu.

"TNB Terengganu sentiasa mengadakan perbincangan dan penyelarasan bersama kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan keupayaan infrastruktur sedia ada bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan projek-projek pembangunan baharu kerana ia antara faktor yang boleh menarik pelabur ke Terengganu," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Najib tidak pernah tanya mengenai terlebih pengeluaran dalam akaunnya - Saksi

 
     

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel