Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Berpuasa tahun kelima memberi makna kepada 30 keluarga saudara baharu di Kampung Mansiang Sook


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





Oleh Mohamad Khairy Abdullah

KENINGAU, 15 Mei (Bernama) -- “Kami sangat berbangga menganut agama Islam,” kata Mohamad Hafiz Abdullah, 38, yang nama asalnya James Wong.

“Alhamdulillah, kami berjaya mengharungi cabaran puasa sama seperti yang dikerjakan oleh penganut agama Islam yang lain," katanya mewakili 30 keluarga saudara baru kaum Tionghoa di Kampung Mansiang Sook dekat sini.

Bulan Ramadan tahun ini adalah tahun kelima mereka menunaikan ibadah puasa. 

Hafiz, yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), memberitahu Bernama, Kampung Mansiang yang terletak di tengah hutan belantara kira-kira sembilan kilometer dari Pekan Keningau, diasaskan oleh datuknya kira-kira 40 tahun lepas.

Katanya banyak sejarah dilakarkan di kampung ini (Kampung Mansiang), pertamanya kampung ini diasaskan oleh kaum Tionghoa jauh di tengah hutan.

"Dan yang sangat menarik di sini ialah majoriti penduduk memilih Islam sebagai agama mereka,” kata Hafiz seraya menambah, majoriti penduduk menjalani kehidupan sebagai petani konvensional.

Katanya hubungan mereka dengan kaum Dusun sangat baik dan sering berkongsi ilmu pertanian.

Mengenai kemajuan agama Islam di kampung itu, Hafiz yang sangat fasih berbahasa Dusun berkata, kebanyakan penduduk mendalami agama Islam melalui bimbingan beberapa individu tertentu selain buku serta risalah yang diperoleh daripada sumber media.

Menurutnya kewujudan kaum Tionghoa beragama Islam di Kampung Mansiang mungkin tidak diketahui ramai.

Dalam pada itu, kehadiran Bernama yang menyertai lawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook Edward Kandok ke kampung itu disifatkan oleh penduduk di situ sebagai sangat bersejarah kerana ia merupakan lawatan pertama orang luar ke kampung itu.

“Tidak pernah sesiapa pun sebelum ini kami didatangi pelawat luar, ini adalah lawatan pertama dan sangat bersejarah,” kata Hafiz dan menyerahkan surat permohonan kepada PPM Sook Edward yang menyenaraikan permohonan bantuan khas kepada penduduk sempena sambutan bulan Ramadan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel