Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa ditubuh tangani masalah pencemaran sungai di Kampung Baru Site C


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





SEREMBAN, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menangani masalah pencemaran sungai di Kampung Baru Site C, Port Dickson baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata jawatankuasa itu yang dianggotai beberapa jabatan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Majlis Perbandaran Port Dickson, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Polis Diraja Malaysia diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Bakri Sawir.

"Jawatankuasa ini akan berunding dan mendapatkan maklumat terkini untuk memastikan pencemaran ini tidak menggugat kedatangan pelancongan ke Port Dickson. Kita mengambil langkah segera supaya pencemaran itu tidak merebak dan kita berharap supaya perkara ini tidak berulang dan kita dapat mengawalnya di peringkat awal.

Pencemaran itu tidak besar dan berlaku di sebuah sungai di Kampung Baru Site C, Port Dickson. Perkara ini didapati sudah lama berlaku dan tidak ada tindakan. Oleh itu, kita mengambil beberapa langkah segera bagi membendung kejadian itu daripada berulang. Antaranya ialah berhubung terus dengan penternak dan mengambil langkah perlu bagi memastikan pencemaran tidak berlaku lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencemaran itu tidak sepatutnya berlaku jika dapat dikawal di peringkat awal lagi.

"Siasatan mendapati terdapat beberapa tempat penyembelihan haram khinzir di situ. Jadi, ini menjadi isu kenapa masih ada lagi ternakan khinzir secara haram di kawasan itu, sedangkan Bukit Pelandok dan kawasan sekitarnya seperti Tanah Merah dan Sungai Nipah yang pernah dilanda Virus Nipah pada 1999 dan kerajaan melarang penternakan khinzir di kawasan tersebut.

Bagaimana pun, maklum balas yang diterima mendapati penternakan khinzir beroperasi semula dan dibuat secara haram di kawasan itu sejak 2004. Oleh itu, kita berharap dapat menangani perkara ini secara harmoni," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan dalam kenyataannya baru-baru ini berkata berdasarkan siasatan JAS di lokasi pembuangan enap cemar berminyak yang menyebabkan pencemaran sungai di Kampung Baru Site C, Port Dickson, dipercayai hasil aktiviti ternakan khinzir dan katak di sebuah premis berhampiran.

Katanya ia berdasarkan kesan lemak dan enapcemar berminyak yang terdapat berhampiran sungai terbabit.

Katanya JAS menerima aduan dari penduduk pada 31 Mac lepas berkaitan pembuangan enap cemar berminyak didakwa dari sebuah premis ke sungai di Kg Baru Site C, Port Dickson.

"Susulan itu satu pasukan penguatkuasa JAS telah ke lokasi aduan pada hari yang sama, bagi tujuan siasatan lanjut dan hasil siasatan di premis berkenaan mendapati aduan berkenaan tiada kaitan dengan pencemaran sungai dan berdasarkan sampel yang diambil pegawai-pegawai daripada jabatan ini, mendapati ia tidak berminyak dan tiada bau minyak.

Sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk mengenal pasti kandungan sebenar. Bagaimanapun siasatan lanjut JAS di lokasi aduan mendapati, terdapat aktiviti ternakan dan tempat sembelihan khinzir juga ternakan katak. Hasil siasatan berhampiran sungai tersebut berkemungkinan pencemaran sungai tersebut disebabkan aktiviti dari ternakan khinzir dan katak berdasarkan kesan lemak dan enap cemar yang berminyak tersebut," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Negara kehilangan seorang ikon pengguna dan alam sekitar

 
     

Kerajaan PH sasar 10 tahun perbaiki kepincangan dalam negara

 
     

Hakim mesti buat keputusan tepat untuk badan kehakiman kembali dipandang tinggi - Peguam Negara

 
     

Penjawat awam Pahang terima bonus raya RM600

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel