Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

McDonald’s rai 420,000 guru dengan baucar hidangan percuma


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





PETALING JAYA, 15 Mei (Bernama) -- Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan guru, McDonald’s Malaysia buat julung kalinya memberikan baucar hidangan percuma bernilai RM4.5 juta kepada lebih 420,000 orang guru di seluruh Malaysia.

Naib Presiden McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai berkata ia merupakan antara usaha McDonald’s untuk menyambut Hari Guru yang diraikan pada setiap 16 Mei selain menghargai usaha mereka mendidik para pelajar.

“McDonald’s sentiasa prihatin dan kami memang teruja dengan apa yang guru-guru lakukan. Mereka memang memainkan peranan yang penting bukan sahaja daripada segi pembelajaran anak-anak tetapi juga  dalam membentuk akhlak pelajar,” katanya ketika ditemui di McDonald’s Kota Damansara, hari ini.

Melati yang juga Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia berkata pemberian baucar ini melibatkan guru-guru yang berkhidmat di sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan yang didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata para guru boleh menebus baucar itu dari 16-20 Mei.

Menurut Melati, McDonald’s Malaysia turut memberi anugerah kepada 25 guru menerusi Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 dengan kerjasama KPM dalam majlis yang diadakan pada 13 Mei lepas di Pulau Pinang.

Anugerah yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya ini menerima lebih 7,500 pencalonan guru daripada orang ramai sepanjang Mac lepas dengan kesemua penerima anugerah itu menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Melati berkata antara program lain yang diadakan oleh McDonald’s Malaysia adalah seminar motivasi tahunan yang diadakan sepanjang April lalu di sembilan lokasi di seluruh negara yang disampaikan oleh penceramah motivasi terkenal Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Tambah beliau, Sambutan Hari Guru juga turut diadakan di restoran McDonald’s seluruh negara sepanjang bulan April lepas dengan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti permainan, sesi bergambar dan jamuan ringan.

Sementara itu, seorang guru Melissa Choong Yu Pei, 24, yang ditanya tentang inisiatif McDonald’s itu berkata ia harus diteruskan dalam memberi inspirasi kepada masyarakat.

“Saya rasa sangat dihargai dan dengan kerjasama pihak swasta dan kerajaan, harap boleh anjurkan lebih banyak aktiviti yang memberi manfaat kepada semua pihak terutama guru dan pelajar,” katanya.

— BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel