Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Air katira, satar, puding raja antara juadah berbuka Agong, Permaisuri


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





KUANTAN, 15 Mei (Bernama) -- Air katira, sata, puding raja, murtabak dan pulut panggang antara juadah yang dibeli Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bazar Ramadan Mahkota Square di sini, hari ini. 

Baginda yang berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang MPK di sini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di bazar itu pada 6.50 petang. 

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang. 

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berkenan ‘meronda’ bazar Mahkota Square selama hampir 15 minit untuk membeli juadah berbuka selain bertanya khabar peniaga dan pengunjung bazar,  yang semuanya kelihatan teruja melihat kelibat baginda berdua. 

Baginda berdua kemudiannya berkenan berbuka puasa di padang MPK 1 yang terletak bersebelahan bazar itu, yang merupakan tradisi tahunan pasangan diraja itu sejak dahulu pada setiap kali bulan Ramadan.

Sementara itu, peniaga sata Safiuddin Omar, 27, dari Kota Bharu, Kelantan mengakui agak terkejut apabila Al-Sultan Abdullah berkenan membeli sata dan pulut panggang jualannya, kerana kedudukan gerainya yang berada di barisan akhir. 

"Tergamam juga apabila tuanku berada di depan kerana ini kali pertama saya menerima pelanggan diraja walaupun sudah tiga tahun berniaga di sini. Mungkin rezeki saya hari ini, tuanku berkenan membeli kerana sebelum ini saya hanya mendengar rakan-rakan peniaga dapat bertemu tuanku. 

"Lebih seronok kerana mengetahui sata yang merupakan resepi keluarga saya menjadi sebahagian daripada juadah berbuka tuanku berdua untuk hari ini," katanya yang sudah mengusahakan perniagaan itu selama lima tahun. 

Peniaga air, Khairul Afendi Mohamed, 31, berkata Al-Sultan Abdullah berkenan membeli air katira, air kelapa, teh susu dan jus durian belanda di gerainya. 

"Baginda juga ramah... sempat bertanya khabar dan ingin tahu bagaimana perniagaan pada kali ini sementara menanti saya membungkus air. Agak gemuruh juga tapi saya pura-pura tenang sahaja," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel