Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MASwings meterai perjanjian sokongan komponen pesawat dengan AFI KLM E&M


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





KOTA KINABALU, 15 Mei (Bernama) -- MASwings menyertai program sokongan komponen dengan Air France Industries KLM Engineering & Maintenance (AFI KLM E&M) untuk 10 pesawat  ATR 72-500 yang merupakan sebahagian usaha bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan.

Anak syarikat Malaysia Airlines itu yang beroperasi sebagai syarikat penerbangan wilayah di Sabah, Sarawak dan Labuan, menandatangani perjanjian lima tahun di sini hari ini dengan pembekal perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) itu berkuat kuasa 8 Mei, 2019.

Mengikut perjanjian berkenaan, khidmat penyenggaraan pesawat itu akan dikendalikan di pangkalan AFI KLM E&M di Singapura.

MASwings diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Aminuddin Zakaria manakala AFI KLM E&M diwakili Naib Presiden Jualan (Asia-Pasifik), Dominik Wiener-Silva dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Wilfred Madius Tangau, yang juga Menteri Perdagangan dan  Perindustrian Sabah.

Bercakap pada majlis itu, Aminuddin menyifatkan perjanjian tersebut membuktikan satu lagi kejayaan dalam usaha pihaknya meningkatkan lagi perkhidmatan udara luar bandar bagi rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan.

MASwings telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk meneruskan operasinya di wilayah berkenaan mulai Januari 2019 hingga Disember 2024 mengikut Perjanjian Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar yang ditandatangani pada beberapa bulan lepas.

Berdasarkan perjanjian PSO itu, MASwings dibenarkan beroperasi bagi 39 laluan menggunakan 10 pesawat ATR 72-500 serta enam pesawat DHC6-400 Viking.

Aminuddin berkata kerajaan menetapkan KPI ke atas MASwings dari segi penyampaian perkhidmatan dan KPI yang ditetapkan meliputi aspek penting, termasuk prestasi ketepatan masa, kadar pembatalan dan kepuasan pengguna.

“Oleh itu, dalam melangkah maju, MASwings mahu memastikan operasi di Sabah, Sarawak dan Labuan memenuhi harapan kerajaan dan rakyat secara keseluruhan.

“Susulan itu, perjanjian yang dimeterai hari ini sangat penting bagi operasi MASwings kerana kami kini menjalinkan kerjasama erat dengan pakar program sokongan komponen ATR di rantau ini untuk menyediakan pusat sehenti bagi kumpulan pesawat ATR 72-500 kami,” katanya.

Aminuddin berkata MASwings yakin perjanjian itu akan terus meningkatkan lagi rekod kebolehpercayaan pesawat syarikat itu serta alat ganti di lokasi sentiasa tersedia bagi menyokong operasi, sekali gus mengelakkan keadaan pesawat gagal beroperasi dan tidak dapat meneruskan penerbangan.

Menerusi kerjasama ini, MASwings akan sentiasa mendapat komponen standard terkini memandangkan semua pembaikan dan pengubahsuaian hanya akan dilakukan oleh pusat AFI KLM E&M, katanya.

“MASwings yakin dapat memenuhi KPI ditetapkan kerajaan yang akan memberikan kesan positif terhadap perniagaan dan perdagangan Sabah, terutama bagi pasaran pelancongan, dengan pemeteraian perjanjian terkini serta penglibatan dengan AFI KLM E&M itu dalam menyediakan sokongan komponen ATR,” katanya.

Aminuddin berkata perjanjian itu turut mengorak laluan bagi Sabah merealisasikan matlamat ke arah menjadi hab penerbangan yang menyokong ekosistem MRO dengan Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu sebagai pemangkin utama usaha tersebut.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PLUS nasihat pengguna l/raya terutama motosikal jangan guna lorong kecemasan

 
     

Warga emas Darul Hanan teruja dapat rasai bubur lambuk resepi istana

 
     

Sindiket pemerdagangan manusia tumpas, enam termasuk tiga anggota polis ditahan

 
     

Dua belas pelajar MRSM Kuala Klawang terlibat kemalangan bas, SUV-MARA

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel