EFDueAbfgOc RTM telah lakukan liputan dengan adil - Gobind
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RTM telah lakukan liputan dengan adil - Gobind


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





SHAH ALAM, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian  Komunikasi dan Multimedia menyifatkan Radio Televisyen  Malaysia (RTM) Sarawak telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil dalam memberikan liputan kepada semua pihak termasuk jemaah menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata dakwaan bahawa RTM tidak membuat liputan untuk program kerajaan negeri adalah tidak benar.

"Saya telah meneliti aduan tersebut dan dakwaan bahawa RTM Sarawak bertindak tidak adil dalam memberikan liputan kepada ketua menteri, menteri dan program kerajaan negeri tidak benar.

Ini kerana dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, RTM telah membuat liputan 181 aktiviti melibatkan ketua menteri, menteri-menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak, yang disiarkan melalui pelbagai platform RTM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Ramadan anjuran Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), di sini malam ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Syed Md Najib Syed Md Noor.

Gobind berkata RTM diberikan kebebasan untuk membuat liputan selaras dengan dasar kerajaan yang memperjuangkan kebebasan media.

"Saya tidak akan arahkan RTM untuk lakukan sesuatu perkara kerana saya rasa ini bertentangan dengan pendekatan yang kita ambil.

Kita juga tidak halang RTM daripada membuat liputan acara Kerajaan Negeri Sarawak, sekiranya ada masalah mereka boleh berjumpa pengarah RTM negeri atau tulis surat kepada kita," katanya.

Baru-baru ini,  Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meluahkan rasa kecewa kerana program kerajaan negeri kurang mendapat liputan daripada RTM.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes seorang remaja perempuan yang dijumpai mati  di tempat letak kereta di Batu Kawa, Kuching, semalam, selepas memuat naik status “Really important, Help me to choose D(Death) or L (Life)”di 'Instagram Story'  yang mendapat undian 69 peratus untuk mati, Gobind berkata pihaknya akan meneliti perkara itu dan mencari jalan penyelesaian supaya perkara tersebut tidak berulang lagi.

"Saya telah arahkan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk dapatkan fakta dan selepas itu mungkin ada keperluan untuk polis jalankan siasatan.

Saya rasa pada masa yang sama kita mahu lihat bagaimana Akta Komunikasi dan Multimedia dapat mengatasi masalah ini," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Najib tidak pernah tanya mengenai terlebih pengeluaran dalam akaunnya - Saksi

 
     

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel