Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selamatkan mangsa kemalangan, Kamaruzali dianugerahkan Guru Adiwira


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





JOHOR BAHRU, 16 Mei ( Bernama) -- Tindakan nekad seorang guru menyelamatkan empat sekeluarga dalam kemalangan pada tahun lalu, diberi penghargaan Kementerian Pendidikan Malaysia, sebagai Guru Adiwira tahun ini.

Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Seth, dekat Yong Peng, Kamaruzali Warman berkata penghargaan pertama seumur hidupnya sebagai seorang guru selama  28 tahun itu diterimanya, sempena Festival Hari Guru Kebangsaan 2019.

“Saya tidak sangka (dapat anugerah) kerana saya ikhlas membantu keluarga berkenaan, dan tidak mengharapkan penghargaan.

“Namun saya tetap bersyukur kerana yakin, ia boleh memberi inspirasi kepada orang lain, supaya membantu dalam apa jua keadaan,” kata guru berusia 53 tahun itu, ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kamaruzali berkata, beliau merupakan antara 16 guru di seluruh negeri yang turut menerima penghargaan berkenaan.

Pada 21 Nov 2018, satu kemalangan berlaku membabitkan seorang bapa dan tiga orang anaknya apabila kenderaan yang mereka naiki, hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam Parit Yaani, dekat Batu Pahat.

Dalam kejadian itu, tindakan berani Kamaruzali terjun ke dalam parit berkenaan, membantu menyelamatkan mangsa, mendapat pujian netizen, selepas gambarnya yang berpakaian uniform Kadet Remaja Sekolah (KRS) dalam keadaan basah kuyup dikongsi ramai.

Malahan tindakannya itu turut mendapat reaksi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, yang memuat naik ke akaun media sosialnya dan meletakkan kapsyen mengucapkan ‘Tahniah Cikgu Kamarul, Cikgu wira kami semua!.

Kamarulzali turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa membantu antara satu sama lain walaupun kecil sumbangannya dan tidak mengharapkan penghargaan atas bantuan yang diberikan.

Sementara itu, pemenang "Most Inspiring Leader Frog Teachers Award" Mohd Faruze Ibrahim, dari Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Johor, melahirkan kesyukuran diberi penghargaan dan turut mendedikasi kejayaan itu untuk semua warga pendidikan negeri Johor, yang sentiasa mengambil peluang meneraju perubahan ke arah penggunaan teknologi pada abd ke-21.

"Harapan saya pada masa hadapan agar semua guru khususnya di negeri Johor dapat membudayakan amalan pengajaran dan pemikiran Teknologi Pendidikan untuk memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada anak murid dengan menggunakan aplikasi-aplikasi dan peralatan teknologi yang telah disediakan kementerian," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel