Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua pemancing berpaut pada tong kosong selama dua jam di laut


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





TAWAU, 16 Mei (Bernama) -- Tong kosong menyelamatkan dua pemancing selepas bot gentian kaca dinaiki mereka terbalik akibat dibadai ombak di perairan Sungai Tawau dekat sini, semalam.

Shahrul Lizam Rizman dan Azman Abd Rahim yang berpaut pada tong itu selama dua jam, ditemui selamat oleh seorang daripada anggota keluarga mereka yang melakukan pencarian di sekitar perairan Batu 4 dekat sini.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Operasi Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya menggerakkan bot peronda pada 6.50 petang selepas menerima maklumat awal berhubung dua lelaki dikhuatiri lemas akibat bot dinaiki untuk memancing dipukul ombak.

Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian tiga lelaki berumur antara 17 hingga 46 tahun dari Kampung Batu 2, keluar memancing pada 5.30 petang.

"Namun ketika bot terbalik, rakan mangsa Samri Sundu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan pantai dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa, seterusnya pencarian untuk penyelamatan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sekitar 7.19 malam, Mohd Yusri berkata pihaknya menerima maklumat penemuan dua mangsa berkenaan.

"Kedua-duanya hanya mengalami kecederaan ringan pada badan dan pihak maritim membantu mangsa dipindahkan ke dalam bot seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya lagi.

Susulan insiden itu, Mohd Yusri menasihatkan orang awam agar peka terhadap perubahan cuaca dan sentiasa memakai jaket keselamatan ketika keluar ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, katanya masyarakat boleh menyalurkan sebarang maklumat kecemasan ataupun salah laku jenayah, ke Pusat Operasi, Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau hubungi MERS 999.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel