qtAISHmlIPw Kes Ketua Jururawat Hilang: Siti Kharina ditemui dibunuh
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kes Ketua Jururawat Hilang: Siti Kharina ditemui dibunuh


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Polis mengesahkan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas, ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Beliau berkata pemilik rumah itu datang untuk memeriksa rumahnya, dan polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa di kondominium itu.

“Mangsa ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina yang telah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini.

Noor Azam berkata berikutan kejadian ini, polis telah menahan seorang wanita warga Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berumur 38 tahun di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi ini.

“Seorang lagi suspek lelaki diburu bagi membantu siasatan kes ini dikenali sebagai, Aliwajuwon Gilbertalowonle warga Nigeria yang memasuki Malaysia awal Januari lepas,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan di tempat kejadian mendapati ketiga-tiga suspek ini merupakan rakan perniagaan telefon bimbit di sebuah pusat membeli-belah gajet elektronik terkenal di Kuala Lumpur.

Selain itu, polis menemui pisau dan baju di rumah sewa mangsa, manakala polis menolak unsur samun dalam kes Siti Kharina kerana dokumen dan barang kemas mangsa tidak hilang.

“Kami tidak menemui sebarang kesan pecah rumah dalam rumah mangsa kerana barang berharga mangsa tidak diambil,” katanya.

Beliau berkata polis percaya bahawa Siti Kharina telah dibunuh empat atau lima hari lepas di rumah sewanya, manakala motif kejadian masih disiasat.

“Ketika ini polis akan mengambil keterangan daripada suspek dan ahli keluarga Siti Kharina bagi melengkapkan siasatan kes ini.

“Kami akan siasat daripada semua aspek sama ada Siti Kharina dirogol, dilarikan atau lain-lain punca. Selain itu, polis sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa dari Hospital Serdang,” katanya.

Noor Azam berkata pihaknya juga menyiasat hubungan mangsa dengan ketiga-tiga suspek kes berkenaan.

Beliau berkata pihaknya mengesahkan bahawa Siti Kharina mempunyai dua buah rumah sewa, iaitu sebuah di Cyberjaya dan sebuah lagi di tempat lain.

“Siti Kharina mempunyai tiga anak perempuan seorang berusia 14 tahun dan kembar berusia 10 tahun menetap di Kampung Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan,” katanya.

Pada Ahad lepas, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini, kali terakhir dilihat di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lepas.

Siti Kharina dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Najib tidak pernah tanya mengenai terlebih pengeluaran dalam akaunnya - Saksi

 
     

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     

Saya tahu siapa dalang sebar video - Azmin

 
     

Kesungguhan pimpinan, ahli Bersatu harus kekal demi kelangsungan parti - Maszlee

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel