Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

33 PATI warga Indonesia ditahan kerana cuba seludup masuk guna laluan tidak diwarta


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan 33 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang cuba menyeludup masuk negara melalui kawasan tidak diwartakan di Desaru, dekat Kota Tinggi, malam tadi.

Pengarah ZMTS Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata kesemua 27 lelaki dan enam wanita berumur antara 18 dan 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.00 malam ketika kesemua mereka diturunkan dari bot di kawasan pantai berhampiran Hotel Tiara, Desaru.

“Penahanan dilakukan menerusi serbuan selepas APMM ZMTS yang bertindak atas maklumat awam. Berdasarkan pemerhatian, paras air laut agak dalam, dan anggota APMM ZMTS turut bertindak untuk menyelamatkan kesemua pendatang asing tanpa izin itu yang berada di dalam air memandangkan bot itu berpatah balik le laut setelah menyedari kehadiran anggota APMM,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zulfadli berkata selain kesemua pendatang asing tanpa izin, pihaknya turut menahan seorang daripada dua suspek dipercayai tekong darat ketika cuba melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran pantai.

Beliau berkata sebuah bot ronda APMM turut mengejar bot penyeludup migran itu yang dipercayai menggunakan tiga atau empat enjin sangkut sehingga bot terbabit meloloskan diri ke sempadan perairan.

Katanya, pihaknya bimbang jika masih terdapat migran wanita dan kanak-kanak di dalam bot itu yang masih belum diturunkan.

“Kesemua pendatang asing tanpa izin yang ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan serta menjalankan penyeludupan migran,” katanya.

Beliau menambah berdasarkan siasatan awal, kesemua mereka dikendalikan oleh ‘Geng Fuad Lombok’.

Beliau turut menasihati warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman atau memasuki negara ini supaya menggunakan laluan sah supaya dapat pulang dan datang dengan selamat tanpa perlu menggadai nyawa.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin perkenan pengerusi jawatankuasa masjid, surau digantung tugas

 
     

Setahun Berbasikal: Tiga anak Malaysia tiba di tanah air

 
     

Penduduk luar bandar mahu keupayaan komunikasi ditingkatkan

 
     

Kapal Jepun JMSDF berlabuh di Pelabuhan Klang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel