Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rugi Berjuta Ringgit: Kementerian tunggu laporan siasatan pembalakan di Johor


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli masih menunggu laporan siasatan daripada Jabatan Perhutanan Johor sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap dakwaan penyelewengan kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Lenggor dekat Mersing.

Timbalan menterinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bagaimanapun berkata aktiviti pengurusan dan penguatkuasaan undang-undang hutan adalah di bawah bidang kuasa jabatan perhutanan negeri dan bukan kerajaan persekutuan.

"Di peringkat kerajaan pusat, kita hanya bertanggungjawab menggubal dasar serta memberi khidmat nasihat dan teknikal kepada jabatan perhutanan negeri mengenai aspek pengurusan hutan.

"Tapi sekiranya ada melibatkan isu penyelewengan seperti di Hutan Simpan Lenggor, ia di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Johor untuk mengambil tindakan, bagaimanapun kami sedang menunggu maklumat lanjut mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Sijil Perhutanan, Institut Latihan Perhutanan ke-32 di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media sebelum ini bahawa terdapat penyelewengan kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Lenggor yang dipercayai menyebabkan kerajaan Johor mengalami kerugian berjuta ringgit selain boleh menjejaskan alam sekitar.

Mengenai langkah kerajaan Kedah mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai Taman Negeri, Tengku Zulpuri berkata kementerian itu menyambut baik usaha berkenaan dan mahu negeri lain turut sama mengikut jejak itu supaya ekosistem hutan dapat dipelihara.

Terdahulu pada majlis tersebut, Tengku Zulpuri menyampaikan Sijil Perhutanan Pengawas Hutan kepada 108 pelatih termasuk dari Sarawak yang menamatkan pengajian bagi sesi 2018-2019. Turut hadir Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Borhanudin Arshad.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin perkenan pengerusi jawatankuasa masjid, surau digantung tugas

 
     

Setahun Berbasikal: Tiga anak Malaysia tiba di tanah air

 
     

Penduduk luar bandar mahu keupayaan komunikasi ditingkatkan

 
     

Kapal Jepun JMSDF berlabuh di Pelabuhan Klang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel