Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dasar, format mengikut menteri cabaran guru masa kini


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





Oleh Nur Faradilla Mohamad

MELAKA, 16 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan dasar atau format baharu pengajaran dan pembelajaran (P&P) setiap kali berlaku pertukaran Menteri Pendidikan antara cabaran perlu dihadapi guru masa kini.

Seorang guru yang telah berkhidmat selama 10 tahun iaitu Zalina Mohd Nor, 36, berkata umpama menjadi satu 'kewajipan' yang mana perubahan dasar dan P&P perlu dilaksanakan apabila berlaku corak perubahan pentadbiran.

Beliau yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Alor Gajah berkata perkara itu secara tidak langsung memberi kesukaran dan bebanan bukan sahaja kepada murid bahkan guru.

"Sebagai contoh, pengenalan subjek baharu yang mana kita baru nak 'adapt' dengan subjek berkenaan namun apabila naik menteri yang lain, subjek itu dimansuhkan dan digantikan pula dengan yang lain.

"Ini akan membuatkan murid berasa keliru sekali gus menjejaskan tumpuan dan pencapaian mereka. Selain itu, kita juga kena sentiasa bersedia untuk dinilai meskipun itu merupakan benda baharu," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Hari Guru disambut di seluruh negara hari ini bertemakan 'Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi' bagi menghargai jasa guru sebagai pendidik anak bangsa dan pembina negara.

Zalina berharap agar Kementerian Pendidikan tidak kerap mengubah format atau dasar pembelajaran yang ditetapkan antara lain menukar pendekatan secara tiba-tiba atau separuh jalan.

Seorang lagi guru Nurhaya Zainol Abidin, 35, memohon agar pembuat dasar Kementerian Pendidikan melakukan kajian secara menyeluruh dengan memastikan bahawa dasar yang digubal bagi jangka masa panjang dan bukannya berubah-ubah mengikut menteri.

"Pembuat dasar perlu membuat kajian secara terperinci meliputi semua aspek selain turun padang bagi mendapatkan pandangan guru dan pentadbir sekolah tanpa ada pengaruh parti politik atau individu berkepentingan.

"Murid tidak sewajarnya dijadikan sebagai bahan 'uji kaji' oleh mana-mana pihak memandangkan mereka adalah generasi akan datang yang merupakan pewaris kepada kepimpinan negara," katanya.

Nurhaya yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata sebarang perubahan format peperiksaan sewajarnya dimulakan daripada awal tahun persekolahan dan bukannya secara drastik.

"Kita berasa kasihan dengan murid terutama yang tinggal di luar bandar dan menghadapi masalah dalam pembelajaran (slow learner). Mereka terpaksa 'struggle' untuk mengikuti P&P," katanya.

Seorang lagi guru yang mahu dikenali sebagai Khairul Nizam Kassim, 23, berharap agar Kementerian Pendidikan dapat mengotakan janji mereka bagi memperbaiki sistem pendidikan termasuk meringankan beban guru.

"Kita berharap agar pihak kementerian dapat menunaikan janji mereka untuk mengurangkan tugas dan beban guru lebih-lebih lagi mereka yang memegang tugas sebagai guru kelas.

"Guru terpaksa melakukan pelbagai kerja pentadbiran sehingga dikhuatiri mengganggu fokus terhadap tugas hakiki mereka dalam melahirkan generasi berilmu," katanya yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Jasin.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel