Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada keperluan tambah tenaga pengajar di institut pendidikan bawah MARA - Rina Harun


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan melihat tiada keperluan untuk menambah bilangan tenaga pengajar di kesemua Institusi Pendidikan Mara (IPMa) di seluruh negara buat masa ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, ini kerana nisbah tenaga pengajar dengan jumlah pelajar sedia ada di kesemua 343 IPMa seluruh negara masih boleh diurus. 

"Buat masa ini kalau ikutkan daripada nisbah tenaga pengajar dan pelajar di Mara masih boleh diurus, cuma guru-guru perlu lebih kreatif dan lebih maju sebab murid sekarang terdedah kepada teknologi.

Jadi guru perlu mempunyai kemahiran teknologi dan maklumat yang lebih banyak lagi," katanya kepada pemberita selepas merasikan Majlis Sambutan Hari Guru@KPLB 2019 di sini hari ini. 

Setakat ini, Mara mempunyai 10,485 orang guru dan hampir 114,378 pelajar.

IPMa merangkumi Maktab Rendah Sains Mara sebanyak 54 buah, GiatMara (230), Kolej Mara (4), Institusi Kemahiran MARA (14 buah), Kolej Profesional MARA (6), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (11), Kolej PolyTech Mara (8), UniKL (12), Kolej Universiti PolyTech MARA (KUPTM), German-Malaysian Institute (GMI),   Institut Perindustrian MARA-Jepun (MJII) dan UniMARA, masing masing sebuah.

Selain itu, terdapat 10,996 kelas Tabika Kemas dengan tenaga pengajar seramai 10,748 yang dapat membimbing 217,329 kanak-kanak di seluruh negara.

Rina berkata kadar kebolehpasaran graduan Mara melalui pelbagai IPMa dan skim pendidikan, mencatatkan peningkatan iaitu pada tahap 85 peratus pada tahun lepas berbanding 80 peratus pada tahun sebelumnya. 

“Mara telah menyediakan 18,000 profesional dalam bidang kejuruteraan, kedoktoran dan perakaunan pada 2018 serta lebih 33,000 graduan dalam bidang teknologi dan vokasional,” katanya. 

Pada majlis itu Rina turut menyampaikan watikah kepada 20 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Mara, yang diberikan kepada guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam menjalankan tugas sebagai pendidik.

Terdahulu pada majlis berasingan, Rina, anggota Parlimen Titiwangsa, meluangkan masa melawat sekolah beliau mula mendapat pendidikan secara formal ketika bersekolah rendah bersempena Sambutan Hari Guru hari ini di Sekolah Kebangsaan Datok Keramat 1 di sini.

 Beliau berkata kunjungannya itu untuk bertemu dan menyerahkan cenderahati kepada semua warga pendidik bagi meraikan mereka pada majlis berkenaan yang bertugas di 30 buah sekolah rendah dan menengah di dalam Parlimen Titiwangsa.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin perkenan pengerusi jawatankuasa masjid, surau digantung tugas

 
     

Setahun Berbasikal: Tiga anak Malaysia tiba di tanah air

 
     

Penduduk luar bandar mahu keupayaan komunikasi ditingkatkan

 
     

Kapal Jepun JMSDF berlabuh di Pelabuhan Klang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel