gaShcGGYEdk Doa ayah pembakar semangat Koh jadi guru
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Doa ayah pembakar semangat Koh jadi guru


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





Oleh Nor Baizura Basri

JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Meskipun cacat penglihatan sejak berusia lapan tahun, ia tidak pernah menghalang Koh Chai Swee, untuk menjadi pendidik anak bangsa sejak lebih 25 tahun lepas.

Turut menambah kesyahduan ialah apabila Koh menyifatkan semua itu adalah berkat doa bapanya sekali gus menjadi pembuka jalan serta mendatangkan minatnya untuk mengajar murid-murid.

“Saya rasa doa bapa saya. Sebab masa saya kecil, bila kawan-kawan bapa saya tanya apa anak kau akan jadi besar nanti, bapa saya kata anak saya akan jadi cikgu buta satu hari nanti.

“Setiap kali orang tanya, dia akan cakap macam tu,” kata Koh kepada Bernama ketika ditemui di sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di sini.

Guru berusia 57 tahun dan berasal dari Batu Pahat itu juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan pada tahun 1976-1979.

Menurut Koh, dia pernah belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di Batu Pahat sehingga darjah dua, namun terpaksa berhenti sekolah selepas mengalami cacat penglihatan B2 akibat demam panas.

“Sejak itu, saya tidak bersekolah dalam tempoh yang lama sehingga berusia 13 tahun. Satu hari, keluarga tahu mengenai sekolah ini, jadi saya pun mula bersekolah kembali pada usia 13 tahun. Bila dapat peluang belajar, saya rasa gembira sangat.

“Itu sebab saya mahu mengajar kembali di sekolah ini untuk membalas jasa guru-guru dan sekolah selain mahu menabur bakti pada sekolah sendiri,” tambahnya lagi.

Ketika ditanya apakah kenangan manis buatnya sepanjang bergelar guru, beliau berkata kejayaan tiga pelajar sekolah berkenaan dalam meraih A dalam subjek Matematik untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah dua tahun lalu untuk pertama kali merupakan kenangan manis buatnya.

“Harapan saya agar murid-murid yang saya ajar akan meraih kejayaan yang lebih daripada saya. Kalau saya cikgu, mereka kena jadi pensyarah. Kena lebih satu tingkat dari saya.

“Saya bangga sebab kebanyakan mereka yang sudah habis belajar, mereka sudah berjaya, mereka akan jumpa saya balik atau telefon tanya khabar. Kalau dah berumah tangga, ajak makan dekat rumah.

“Kalau saya ada kursus di Kuala Lumpur, pasti mereka menjemput saya datang ke rumah,” katanya terharu.

Seorang lagi guru di situ, Ustaz Mohd Zulkifli Mamat bersyukur kerana dapat berkongsi ilmu dengan anak-anak muridnya yang juga cacat penglihatan.

Mohd Zulkifli, 56, mengalami masalah penglihatan sejak berusia 16 tahun kerana demam panas.

“Saya harap semua murid saya akan berjaya...lebih lagi, saya mengajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, harapnya supaya mereka boleh faham dan boleh mengamalkan satu hari nanti, moga apa yang diamalkan itu dapat juga pahalanya kepada saya,” tambah Mohd Zulkifli, yang turut bertemu jodoh di sekolah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin perkenan pengerusi jawatankuasa masjid, surau digantung tugas

 
     

Setahun Berbasikal: Tiga anak Malaysia tiba di tanah air

 
     

Penduduk luar bandar mahu keupayaan komunikasi ditingkatkan

 
     

Kapal Jepun JMSDF berlabuh di Pelabuhan Klang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel