Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SPR sedia bincang isu larangan menteri berkempen waktu pejabat


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) mengenai larangan anggota pentadbiran berkempen ketika waktu pejabat dan penggunaan aset-aset kerajaan semasa pilihan raya.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata SPR juga bersedia untuk berunding dengan mana-mana pihak lain untuk mendapatkan apa-apa pandangan dan maklum balas bagi menambah baik proses perjalanan pilihan raya.

“Tindakan itu selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak terutamanya pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya.

“Fokus utama SPR adalah untuk membentuk satu proses pilihan raya yang adil kepada semua pihak dan ia berjalan dengan telus dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lepas bahawa kerajaan akan berbincang dengan SPR mengenai sekatan terhadap menteri untuk berkempen pada waktu bekerja dan penggunaan aset kerajaan semasa pilihan raya.

Azhar berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-14, suruhanjaya itu telah mengambil pelbagai tindakan untuk menambah baik proses-proses pilihan raya dan sedang melihat secara menyeluruh reformasi yang boleh dilaksanakan.

“Adalah menjadi matlamat SPR agar semua penambahbaikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan nanti dapat menjamin pilihan raya yang telus, bersih dan adil,” katanya.

Dalam konteks tersebut, Azhar berkata penambahbaikan terhadap proses-proses perjalanan pilihan raya yang tidak melibatkan pindaan undang-undang telah pun dilaksanakan, manakala yang melibatkan pindaan undang-undang pula perlu kepada penelitian dan kajian lanjut.

Bagi melaksanakan penambahbaikan itu, katanya, SPR telah melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, organisasi sosial, agensi-agensi kerajaan dan juga organisasi-organisasi antarabangsa.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin perkenan pengerusi jawatankuasa masjid, surau digantung tugas

 
     

Setahun Berbasikal: Tiga anak Malaysia tiba di tanah air

 
     

Penduduk luar bandar mahu keupayaan komunikasi ditingkatkan

 
     

Kapal Jepun JMSDF berlabuh di Pelabuhan Klang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel