Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan dijangka buat pengumuman mengenai VOA tidak lama lagi


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





GEORGE TOWN, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dijangka mengumumkan satu berita positif berhubung “Visa Semasa Ketibaan” (VOA) buat pelancong selepas sambutan Aidilfitri pada Jun atau Julai, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini.

Beliau berkata kementeriannya sedang berunding dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menangani isu-isu tertentu yang timbul dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.

“Kami sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan semua isu berhubung VOA, termasuk untuk menjadikan ia lebih mudah bagi para pelancong untuk memasuki negara, keperluan yang tidak terlalu ketat, bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong.

“Ia akan akan diselesaikan tidak lamai lagi, dan kita akan membuat pengumuman rasmi dalam masa dua bulan selepas semuanya siap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai ‘Spectrum of the Seas’, kapal persiaran terbaru dan terbesar milik Royal Carribean International di Terminal Persiaran Swettenham di sini hari ini.

Beliau berkata hasrat kerajaan adalah untuk memudahkan pelancong luar terutama dari China dan India menikmati percutian mereka di sini.

Bulan lepas Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan menyediakan akses perjalanan bebas visa bagi pelancong dari China dan India bagi menggalakkan industri pelancongan.

Gesaan yang sama turut disuarakan oleh Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin yang meminta supaya kerajaan persekutuan memperkenalkan kemudahan VOA kepada pelancong dari China dan India yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Sementara itu Mohamaddin berkata Malaysia menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong dan perolehan hasil pelancongan RM100 billion sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan dilancarkan bulan depan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel