Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isu beban kerja guru akan diselesai berperingkat - NUTP


Tarikh kemaskini: 17/05/2019





KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Isu bebanan tugas yang menghimpit golongan guru di negara ini akan diselesaikan secara berperingkat, demikian menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP). 

Presidennya Aminuddin Awang berkata pihak kesatuan telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Kementerian Pendidikan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan. 

 “Dalam isu ini pihak kementerian telah menggariskan beberapa inisiatif melibatkan tiga fasa, iaitu yang boleh diselesaikan dalam jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang...jadi harap guru-guru dapat bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan rancangan Ruang Bicara yang disiarkan oleh Bernama News Channel yang bertajuk: Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi, malam ini.

Isu berkenaan sebelum ini mendapat perhatian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang telah menggariskan lima inisiatif dan sembilan intervensi bagi mengurangkan beban tugas guru, yang mula dilaksanakan awal tahun ini.

Kesemua inisiatif itu diperkenalkan memastikan proses pengajaran yang mementingkan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan bukannya menjadikan pekerjaan mulia itu sesuatu yang menyeksa dan membebankan.

Aminuddin dalam pada itu menafikan guru-guru yang membangkitkan isu beban kerja berlebihan itu sebagai malas sebaliknya memahami kerja-kerja tambahan itu menyebabkan guru-guru tidak dapat menumpukan masa yang lebih banyak dengan para pelajar dalam kelas.

“Kita telah mendengar amanat sempena Hari Guru yang disampaikan oleh Menteri (Pendidikan) Dr Maszlee tadi bahawa isu ini akan diselesaikan...saya harap guru-guru akan bersabar menanti detik (perubahan) kerana ia tidak boleh dibuat dalam sekelip mata,” katanya.

Maszlee ketika sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang pagi tadi berkata beberapa inisiatif sedang dilakukan bagi menambah baik tugas para guru di sekolah.

Ia termasuk menghentikan pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2), isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Negara kehilangan seorang ikon pengguna dan alam sekitar

 
     

Kerajaan PH sasar 10 tahun perbaiki kepincangan dalam negara

 
     

Hakim mesti buat keputusan tepat untuk badan kehakiman kembali dipandang tinggi - Peguam Negara

 
     

Penjawat awam Pahang terima bonus raya RM600

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel