Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RMHC, PPZ-MAIWP bawa keceriaan kepada 500 anak yatim dan asnaf


Tarikh kemaskini: 17/05/2019





KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) membawa keceriaan dan senyuman kepada 500 anak-anak yatim dan asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui majlis Iftar serta sumbangan Aidilfitri, di sini, hari ini.

Pengurus Besar RMHC Mohd Nasri Mohd Nordin berkata program tanggungjawab sosial korporat itu merupakan kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), menyantuni mereka yang kurang bernasib baik.

"McDonalds melalui RMHC akan terus komited melakukan program-program kemasyarakatan dan majlis berbuka puasa ini antara usaha kami menjadikan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat anak-anak yatim dan asnaf di sekitar sini.

"Setiap tahun lebih daripada 10,000 program kemasyarakatan kami anjurkan, dan tahun ini kita sasar untuk gandakan lagi jumlah ini supaya lebih banyak kebaikan yang dapat kami sebarkan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita tempat berlangsungnya majlis itu di Masjid Usamah Zaid, di sini.

Pada majlis itu, Pengarah Kanan Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald's Malaysia Azhar Darbi menyampaikan bantuan wang RM5,000 bagi pihak RMHC kepada setiap satu daripada 10 rumah kebajikan anak yatim dan asnaf terpilih di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta bantuan Hari Raya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff pula berkata pihaknya mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat di seluruh negara untuk bekerjasama dengan pihaknya untuk menganjurkan program-program kemasyarakatan melalui Skim Wakalah PPZ-MAWIP.

"Melalui inisiatif Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat atau Skim Wakalah ini, individu atau syarikat korporat yang membayar zakat dengan kita layak memohon pengembalian zakat supaya mereka boleh mengagihkannya kembali kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Menurut beliau,  individu yang memohon Skim Wakalah layak menerima pengembalian zakat sehingga 25 peratus daripada jumlah bayaran zakat dengan minimum pembayaran RM50,000, manakala untuk syarikat atau organisasi pula layak menerima pengembalian zakat sehingga 37.5 peratus tanpa kadar bayaran minimum.  

Beliau juga berkata pihaknya turut menyasarkan untuk mendapat kutipan zakat sebanyak RM1 bilion pada 2022, yang mana kutipan zakat bagi 2019 adalah RM710 juta daripada 190,000 orang perseorangan dan syarikat korporat di sekitar Wilayah ini.

Sementara itu, seorang anak yatim dari Rumah Kebajikan Baitul Hasanah, Izzman Husaini Abdul Kilap, 16, berkata beliau melahirkan rasa syukur kerana masih banyak pihak yang mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik sepertinya.

“Saya dan adik saya Nurul Syafikah kini tinggal di Baitul Hasanah selepas kami kehilangan ayah kami kerana kemalangan maut tahun lepas sementara ibu kami tidak mampu menanggung kami adik-beradik.

“Saya harap mereka yang senasib dengan saya di luar saya perlu terus tabah, kerana kehilangan ibu atau ayah kita sebagai tempat bergantung hanyalah ujian sementara dan kita perlu teruskan kehidupan dan perbaikinya,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Negara kehilangan seorang ikon pengguna dan alam sekitar

 
     

Kerajaan PH sasar 10 tahun perbaiki kepincangan dalam negara

 
     

Hakim mesti buat keputusan tepat untuk badan kehakiman kembali dipandang tinggi - Peguam Negara

 
     

Penjawat awam Pahang terima bonus raya RM600

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel