Kemudahan tandas baharu untuk pelajar SJKC Kepong 3
Tarikh kemaskini: 17/05/2019
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Tandas yang telah diperbaiki dan bersih membawa senyuman kepada 1,546 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kepong 3 di sini, kerana kini mereka boleh menikmati kemudahan yang lebih baik.
Sekolah itu mendapat peruntukan RM29,540 daripada Pejabat Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh untuk menggantikan 66 set pintu tandas.
Yeoh, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kemudahan asas di sekolah adalah penting untuk menggalakkan pelajar hadir ke kelas.
Sejak tahun lepas, sekolah itu telah memohon kepada saya untuk menggantikan pintu tandas PVC kerana kebanyakannya rosak dan saya bersetuju untuk menyumbang sebahagian daripada peruntukan saya untuk tujuan itu.
“Lebih 30 peratus daripada peruntukan saya pada tahun lepas saya salurkan untuk tingkatkan infrastruktur sekolah. Kemudahan asas seperti ruang makan dan tandas adalah penting,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.
Yeoh berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru di setiap sekolah juga perlu memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti keperluan bagi mendapatkan dana untuk meningkatkan kemudahan sekolah.
-- BERNAMA
|