Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sinar baharu buat skuad wushu negara


Tarikh kemaskini: 17/05/2019





KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Skuad wushu negara akan mendapat sentuhan bekas juara dunia Mao Ya Qi bagi memantapkan persiapan ke Kejohanan Dunia dan Sukan SEA di Filipina, tahun ini.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia Datuk Chong Kim Fatt berkata jurulatih dari China itu akan berada di Malaysia pada Julai ini dan akan membantu pasukan negara dari segi teknikal.

Beliau berkata Mao sebenarnya bukan asing dalam arena wushu negara kerana semasa beliau membimbing pasukan sebelum ini, Malaysia berjaya melahirkan dua jaguh wushu, Tai Cheau Xuen dan Diana Bong.

“Kami sangat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana memberi kami berita baik. Kami akan bawa jurulatih dari China untuk menguatkan pasukan kami.

“Lagi satu program latihan kami di China juga diluluskan selama tiga minggu sebelum kami terus ke Shanghai untuk Kejohanan Dunia. Selesai itu, kami akan beri tumpuan persiapan Sukan SEA,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bil 2/2019 untuk sukan wushu di sini hari ini.

Chong berkata satu sesi pemilihan akan diadakan pada Julai ini bagi memilih sembilan atlet yang akan mewakili negara ke Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai pada 20 hingga 23 Okt.

Sementara itu, mengenai persiapan Sukan SEA di Filipina pada November ini, Chong berkata skuad negara mengalami masalah apabila kebanyakan atlet negara bergelar juara dunia tidak dapat bertanding kerana tuan rumah tidak menyenaraikan acara mereka.

“Persediaan kami sedang buat tapi buat masa ini kami rahsiakan dahulu sebab tuan rumah pastinya intai kita punya persiapan untuk dapatkan pingat. Strategi mereka tidak senaraikan acara yang kita ada jaguh dunia.

“Tapi kami tetap yakin akan ada satu dua acara kami akan dapat meraih pingat,” katanya.

Chong berkata pihaknya difahamkan disiplin Taolu (seni) mempertandingkan lapan acara dan skuad wushu sedang berusaha membangunkan disiplin Sanda (tempur) yang menawarkan tujuh daripada 16 pingat emas yang ditawarkan dalam acara wushu.

“Setakat ini kami belum buat sasaran sebab ini sebahagian daripada strategi kami. Kami sedang bekerja keras dan pastinya akan hantar atlet yang berpotensi meraih pingat,” katanya.

Untuk rekod, pada Sukan SEA 2017, Malaysia meraih enam emas daripada 17 pingat emas yang ditawarkan dalam wushu. Hanya disiplin Taolu dipertandingkan pada temasya itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel