Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peruntukan RM2.5 bilion pembiayaan mikro untuk Sahabat AIM


Tarikh kemaskini: 17/05/2019





KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan sejumlah RM2.5 bilion bagi pembiayaan mikro dengan menyasarkan 400,000 orang Sahabat AIM (usahawan AIM) menyertai institusi pembiayaan keusahawanan itu pada tahun ini.

Pengerusi Lembaga AIM Datuk Junaidah Kiting berkata sehingga April lepas, sebanyak RM1.6 bilion dana peruntukan telah dikeluarkan bagi membantu Sahabat AIM dengan pertambahan keanggotaan seramai 33,000 orang.

"Baki peruntukan tersebut akan digunakan bagi membantu pembiayaan mikro Sahabat AIM yang baharu. AIM juga mempunyai peruntukan dana khas bulan Ramadan sebanyak RM200 juta, yang telah berjaya diagihkan kepada mereka yang layak.

"AIM juga telah mengeluarkan pinjaman secara kumulatifnya sehingga hari ini berjumlah RM22 bilion yang memberi manfaat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Media di sini, hari ini.

Beliau berkata peruntukan tersebut dapat membantu Sahabat AIM mengembangkan perniagaan dan memberi manfaat kepada lebih ramai wanita daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk menceburi pelbagai bidang perniagaan. 

Junaidah berkata sehingga kini, AIM mencatatkan keanggotaan seramai 310,000 Sahabat AIM dan menyasarkan untuk memperoleh keanggotaan baharu seramai 90,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun berkata usaha yang dijalankan AIM seperti membantu golongan wanita terutamanya kumpulan (B40) adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. 

"Usaha murni yang dilaksanakan AIM ini adalah untuk mengeluarkan golongan yang sebelum ini berpendapatan rendah dan dibelenggu kemiskinan ke tahap yang lebih baik lagi. 

"Selain itu, untuk tujuan tersebut juga, hebahan daripada pihak media juga penting dalam membantu memastikan maklumat yang penting sampai kepada golongan yang disasarkan," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel