Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ABIM sasar bantu 6,000 keluarga tahun ini


Tarikh kemaskini: 18/05/2019





PETALING JAYA, 18 Mei (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyasarkan untuk membantu 6,000 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf sempena program ‘Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB)’ tahun ini.

Presidennya Mohamad Raimi Ab Rahimi berkata program itu sudah dimulakan sejak 2006 lagi.

“Tahun ini ABIM mensasarkan untuk membantu 6,000 keluarga di seluruh negara sempena KSSB yang dimulakan sejak 2006.

“Secara keseluruhan KSSB pada tahun ini telah berjaya menyumbang kepada 5,812 penerima di seluruh negara,” katanya selepas program KSSB yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Eksekutif AIBIM Ratna Sha'erah Kamaludin.

Mohamad Raimi berkata pada hari ini sahaja, jumlah sumbangan daripada AIBIM kepada golongan miskin bandar di sini adalah sebanyak RM60,000 dan sumbangan sekampit beras dan juga barangan keperluan harian serta wang tunai juga disampaikan.

Seramai 200 buah keluarga daripada golongan asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8 Kota Damansara hari ini menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian menerusi program amjuran ABIM itu.

Program dengan kerjasama Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) itu adalah usaha membantu meringankan beban golongan yang memerlukan untuk menjalani ibadah puasa dan melakukan persiapan Aidilfitri kelak.

Mohamad Raimi berkata melalui program itu juga, pihaknya menziarahi beberapa rumah keluarga asnaf terpilih di kawasan perumahan tersebut bagi mendekati golongan ini selain memberi sumbangan.

Sementara itu, seorang penerima yang merupakan peniaga nasi lemak, Jalur Hassan, 72 melahirkan rasa terharu atas sumbangan yang diberikan kerana ia dapat membantu meringankan bebannya sepanjang bulan Ramadan. 

“Saya berterima kasih kepada ABIM dan AIBIM yang memberi sumbangan ini kerana keprihatinan mereka dan melalui pemberian ini sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan hidup kami yang serba kekurangan ini,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel