Sistem kumbahan di Bandar Botanik dan Ambang Botanik akan dinaiktaraf
Tarikh kemaskini: 18/05/2019

KLANG, 18 Mei (Bernama) -- Kira-kira 15,000 penduduk di Bandar Botanik dan Ambang Botanik di sini kini boleh menarik nafas lega apabila pemaju dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bakal menjalankan kerja-kerja menaik taraf sistem kumbahan di kawasan berkenaan.
Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata kerja menaiktaraf itu dijadualkan akan memakan masa selama kira-kira 12 bulan dan memakan belanja sebanyak RM60 juta.
"Ia melibatkan penggantian paip sistem kumbahan sepanjang 16 kilometer dan menaiktaraf vacuum chamber (kebuk penyedut) dari single chamber ke double chamber.
"SPAN memperuntukkan sebayak RM30 juta untuk kerja naiktaraf ini sementara baki RM30 juta lagi ditanggung oleh Gamuda Land Sdn Bhd yang merupakan pemaju kedua-dua kawasan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir, Anggota Suruhanjaya SPAN, Datuk Ir Dr Hasnul Mohamad Salleh dan Presiden Persatuan Penduduk Ambang Botanik, Caleb Khoo .
Tambah Charles bagi memastikan kerja menaiktaraf berkenaan dapat dijalankan dengan baik, pihaknya akan menempatkan pegawai dari unit integriti SPAN sebagai anggota jawatankuasa bagi memastikan ketelusan proses tender dan pemilihan kontraktor.
Sementara itu Caleb berkata pihaknya dan penduduk yang terlibat mengucapkan ribuan terima kasih kepada SPAN dan semua pihak terlibat kerana berusaha menyelesaikan masalah sistem kumbahan yang tidak efektif.
"Sejak 2008 kami (penduduk kawasan) terpaksa menghidu bau busuk air kumbahan yang melimpah keluar di jalan sehingga memasuki rumah kami dan kolam-kolam takungan air," katanya.
Tambah Caleb beliau turut menyuarakan keyakinan beliau bahawa penduduk kawasan berkenaan bersedia menghadapi sebarang kesulitan berikutan kerja-kerja menaiktaraf berkenaan yang mengambil masa setahun.
"Kerja-kerja naiktaraf ini untuk kebaikan semua penduduk di sini pada masa hadapan dan saya yakin kita semua boleh bertolak-ansur kerana ia demi kebaikan kita semua," katanya.
-- BERNAMA
MFMS AKT
|