Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UUM sokong keputusan kekal kuota kemasukan pelajar program matrikulasi universiti awam


Tarikh kemaskini: 18/05/2019





KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) mendukung penuh keputusan jemaah menteri untuk mengekalkan kuota kemasukan sebanyak 90 peratus pelajar Bumiputera dan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera bagi program matrikulasi universiti awam.

Naib Canselornya, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, kuota kemasukan itu yang menambah bilangan kemasukan pelajar kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini, dilihat amat adil kerana selari dengan matlamat asal program matrikulasi semasa ia diperkenalkan.

"(Program itu bagi) membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan pra-universiti yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

"Perlu diingat bahawa program matrikulasi ini diperkenalkan khusus untuk pelajar Bumiputera ekoran masalah ketidakseimbangan kaum di universiti sehingga Jemaah Menteri di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Jun 2002  meluluskan peruntukan 10 peratus kuota bagi pelajar bukan Bumiputera mulai sesi kemasukan 2003. 

"Oleh itu, keputusan Jemaah Menteri pada 24 April lepas, menambah bilangan kemasukan pelajar adalah konsesi kedua setelah 16 tahun diberikan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah pelajar bukan Bumiputera yang berkelayakan tetapi tidak mendapat tempat pengajian selaras dengan misi dan visi Malaysia Baharu yang lebih inklusif ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 April lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) ditambah kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan melihat keperluan untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang terdapat pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan bagi tujuan itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel