Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia, Vietnam cari penyelesaian baru atasi pencerobohan nelayan


Tarikh kemaskini: 18/05/2019





KUANTAN, 18 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk mencari kaedah penyelesaian baru berhubung isu pencerobohan nelayan negara itu ke perairan Malaysia yang semakin meruncing kebelakangan ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah. 

Beliau berkata isu pencerobohan nelayan antara perkara yang dibangkitkan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar, Pham Binh Minha semasa lawatan rasminya ke negara itu pada Khamis lepas.

"Kita berhadapan dengan masalah banyak bot nelayan Vietnam menceroboh perairan Malaysia yang menyebabkan ramai rakyat negara itu ditahan sehingga lokap sesak dan kawasan simpanan bot nelayan yang dirampas penuh. 

"Saya maklumkan kepada pihak Vietnam bahawa kita (Malaysia) tidak suka menangkap nelayan mereka kerana ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, sebaliknya kita perlu menanggung kos makan mereka sepanjang berada dalam tahanan sebelum diusir pulang ke negara asal," katanya. 

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Parlimen Indera Mahkota kali kedua di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, hari ini. 

Beliau berkata berdasarkan statistik agensi penguatkuasaan Malaysia, sebanyak 748 bot nelayan Vietnam ditahan dalam perairan Malaysia melibatkan penahanan 7,203 rakyat negara itu bermula 2006 hingga awal Mei 2019. 

"Kita berharap memorandum persefahaman (MoU) kaedah penyelesaian baru ini dapat dimeterai selewat-lewatnya hujung tahun ini iaitu pada pertemuan kedua Menteri Luar kedua-dua negara yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

"Isu ini juga akan diperhalusi pada mesyuarat pegawai kanan Malaysia-Vietnam yang dijadualkan berlangsung Julai ini kerana pada ketetapannya kita telah bersetuju untuk berbincang kerana Malaysia tidak pernah berbangga menangkap nelayan mereka. 

"Pada pertemuan sebelum ini, kerajaan Vietnam juga memberi jaminan bahawa mereka akan mendidik nelayan mereka supaya tidak terus menceroboh sempadan perairan Malaysia," katanya. 

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata MoU seumpamanya telah ditandatangani antara Malaysia dengan Indonesia melibatkan persetujuan untuk 'tahan bagi pemeriksaan dan terus mengusir' bot nelayan yang melangkau sempadan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     

Tetap adakan upacara pengebumian untuk kedua ibu bapa - Anak

 
     

Jerebu boleh sebabkan radang mata, lelah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel