Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Yayasan Petronas ceriakan 161 pelajar


Tarikh kemaskini: 18/05/2019




KUANTAN, 18 Mei (Bernama) -- Yayasan Petronas hari ini, menceriakan 161 pelajar kurang berkemampuan dengan penyampaian sumbangan lebaran bernilai RM64,400, bagi persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata mereka merupakan pelajar berusia antara tujuh hingga 17 tahun yang dipilih daripada 24 buah sekolah rendah, dan menengah sekitar daerah ini.

"Mereka menerima baucar RM300 setiap seorang, untuk dibelanjakan di pusat membeli belah di sini, dan sumbangan wang tunai RM100 sebelum diraikan dalam majlis berbuka puasa, bersama keluarga mereka di sebuah hotel.

"Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami, selain diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu menggembirakan mereka menjelang hari raya," katanya pada Program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas di sini, hari ini. 

Pada program itu, Wan Mohd Hasnan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical MTBE Azlimi Mohd Lazim menyertai sesi membeli-belah persiapan raya penerima sumbangan tersebut, yang diadakan di sebuah pasar raya di sini. 

Beliau memaklumkan pemberian sumbangan itu merupakan program tahunan Yayasan Petronas dan setakat ini,  seramai 2,800 keluarga di 13 negeri telah menerima manfaat sumbangan Yayasan Petronas, melibatkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian dengan nilai keseluruhan RM815,000. 

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini, Muhammad Hafiz Azrai Ab Razak, 15, melahirkan rasa syukur kerana terpilih menerima sumbangan itu, yang merupakan kali pertama buat dirinya.

"Rasa seronok dapat membeli kelengkapan raya seperti baju Melayu, samping dan songkok tanpa membebankan ibu saya yang merupakan ibu tunggal.

"Jumlah barangan saya juga tidak melebihi nilai baucar, jadi saya habiskan baucar dengan membeli barang makanan untuk keperluan di rumah," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sampel air di Kuala Koh diambil lagi untuk diuji.

 
     

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci

 
     

Pemuda PH Kelantan mahu ROS batalkan pendaftaran UMNO

 
     

Inkues Adib: Empat peguam dari AGC dilantik wakili KPKT, Bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel