Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkenal subjek kenali agama lain di sekolah, universiti - MBM


Tarikh kemaskini: 18/05/2019





KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kerajaan dicadang memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam, di peringkat sekolah dan universiti, bagi meningkatkan pemahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Katanya, cadangan tersebut tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti agama lain.

“Kita lihat idea ini dapat meningkatkan perpaduan antara masyarakat, terutamanya ketika mereka masih di bangku sekolah atau di universiti. 

“Jika tidak melalui pengenalan subjek baharu, mungkin subjek kenali agama lain ini boleh dimasukkan dalam sukatan pelajaran sedia ada,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri bengkel perbincangan meja bulat belia mengenai hal ehwal antara penganut agama di sini, hari ini.

Bengkel sehari anjuran bersama MBM, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri itu, mengumpulkan wakil persatuan belia pelbagai agama dalam negara bagi membincangkan persepsi dan cadangan golongan belia berkaitan agama, perpaduan dan integrasi nasional. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri, Mimi Aldrina O.P Andu berkata bengkel itu bertujuan memahami persepsi golongan belia terutamanya mengenai agama lain di negara ini.

Katanya perkara itu penting terutamanya dalam situasi sekarang, di mana nilai-nilai murni dan sikap saling menghormati masyarakat Timur kini kian terhakis, oleh pelbagai idea baharu yang mempengaruhi golongan muda. 

“Idea-idea asing dan ideologi extremisme ini sudah banyak mempengaruhi masyarakat pada hari ini. Bengkel hari ini diharap dapat membuka minda wakil belia, untuk lebih memahami agama kerana mereka adalah harapan masa hadapan negara,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel