Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan diminta pertimbangkan semula bayaran royalti minyak Pahang


Tarikh kemaskini: 19/05/2019





KUANTAN, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Pahang meminta kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula bayaran royalti minyak atau wang ihsan kepada negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata surat rasmi berhubung permohonan itu akan dikemukakan secara rasmi dalam masa terdekat, namun menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan dalam menentukan nilai yang hendak diberikan. 

"Perkara ini (pemberian wang ihsan atau royalti minyak) pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian royalti sebnayak RM100 juta kepada kerajaan negeri. 

"Jadi, hari ini saya membangkitkan semula soal pembayaran royalti ini supaya dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan Petronas 2019 di sini, pada Sabtu. 

Majlis anjuran Yayasan Petronas yang meraikan 161 pelajar kurang berkemampuan daripada 24 buah sekolah sekitar daerah ini turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah.

Wan Rosdy berkata pemberian wang ihsan atau royalti itu, jika diluluskan kerajaan, dapat memanfaatkan rakyat di Pahang. 

Untuk rekod, pada Oktober 2012 Najib mengumumkan penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307 oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil.

Beliau dilaporkan berkata kedudukan medan minyak tersebut terletak kira-kira 160 kilometer di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang pada kedalaman air 76 meter. 

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu berkata Pahang dijangka menerima wang royalti sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sampel air di Kuala Koh diambil lagi untuk diuji.

 
     

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci

 
     

Pemuda PH Kelantan mahu ROS batalkan pendaftaran UMNO

 
     

Inkues Adib: Empat peguam dari AGC dilantik wakili KPKT, Bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel