Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ESSCom tahan 10 PATI dalam operasi khas di Beluran


Tarikh kemaskini: 19/05/2019





BELURAN, 19 Mei (Bernama) -- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan seramai 10 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi khas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) dekat sini Jumaat lepas.

Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita berumur 16-52 tahun kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, termasuk mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Operasi yang bermula pukul 10 malam dan berakhir pada 2 pagi semalam (Sabtu) turut disertai oleh seorang anggota polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran dan enam anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran.

“Operasi kali ini memberi tumpuan kepada lokasi yang disyaki sering menjadi laluan penyeludup barang kawalan dan bebas cukai serta kemasukan PATI ke daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hazani berkata kesemua suspek telah dibawa ke IPD Beluran untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata pemantauan dan risikan di kawasan berkenaan akan terus dipergiat dan diperkasakan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras dan mengekang aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI melalui laluan tikus atau laluan tidak sah untuk masuk ke daerah-daerah berhampiran seperti Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Semporna

Dalam operasi itu, beliau juga berkata Cawangan Trafik IPD Beluran telah mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan yang tamat tempoh dan membawa muatan yang berlebihan.

"Pada kali ini, saya telah meminta kerjasama daripada Cawangan Trafik IPD Beluran untuk sama-sama terlibat dalam operasi ini supaya saman boleh dikeluarkan dengan serta merta terhadap individu atau kenderaan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang lalulintas,” katanya..

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel