Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kilang mi tanpa sijil halal diserbu


Tarikh kemaskini: 19/05/2019





KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Sebuah kilang memproses mi kuning dan kuey teow diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana beroperasi tanpa sijil halal yang sah di Taman Sri Ehsan, Kepong, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata kilang beroperasi sejak 2003 itu diserbu pasukannya bersama kakitangan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada jam 11 malam, selepas dikesan beroperasi menggunakan status sijil halal meragukan.

“Kilang tersebut pernah mempunyai sijil halal dan hasil siasatan mendapati sijil perakuan tersebut gagal diperbaharui sejak sembilan tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan mengesan kesalahan tersebut di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana memperakui mana-mana makanan, barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang itu adalah halal.

"Serbuan kemudian menyita puluhan bungkus kuey teow, laksa panjang, laksa pendek, plastik pembungkus kuey teow dan plastik pembungkus mi kuning selain pelbagai dokumen yang dianggarkan bernilai RM2,020,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki yang juga pemilik kilang terbabit turut berada di lokasi bersama-sama pekerja lain yang merupakan warga asing.

Azeem berkata pihaknya mendapati tahap kebersihan kilang itu juga rendah dan tindakan penutupan premis akan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak.

Beliau berkata kilang itu dikenal pasti KPDNHEP Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lalu melalui risikan berikutan penemuan bungkusan mi kuning di sebuah restoran mamak yang diragui logo halalnya.

Selain itu, Azeem berkata,pihaknya turut mengambil keterangan pemilik yang berusia 40-an serta pekerja kilang terbabit bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan, sekiranya disabit kesalahan, mereka terlibat boleh dikenakan denda ratusan ribu ringgit serta dipenjara.

“Penyalahgunaan logo halal pada produk makanan adalah satu kesalahan serius kerana ia boleh mengelirukan pengguna terutama umat Islam,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel