Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 400 murid tercicir di Perak kembali ke sekolah - Abdul Aziz


Tarikh kemaskini: 20/05/2019





KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Lebih 400 murid yang tercicir dari alam persekolahan di Perak kini dapat kembali ke sekolah hasil gerak kerja yang dijalankan oleh Jawatankuasa Khas bagi menangani masalah keciciran pelajar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata jawatankuasa yang ditubuhkan empat bulan lepas itu menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di peringkat negeri antaranya Jabatan Pendidikan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Agama Islam Perak dalam usaha menangani perkara itu secara komprehensif.

“Jawatankuasa ini memastikan tindakan segera diambil bagi memastikan anak ini dapat ke sekolah dan tidak berkeliaran sehingga membawa masalah kepada masyarakat.

“Saya berbangga dengan kejayaan jawatankuasa itu setakat ini dan harap jawatankuasa ini dapat mengemukakan dapatan berkesan agar masalah ini dapat diselesaikan secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Aziz ditemui sebelum menghadiri rakaman program UPSOUND terbitan Bernama News Channel bagi membincangkan isu bertajuk 'Barah Politik Perkauman dan Masa Depan Negara' yang akan bersiaran pukul 8.30 malam, Rabu ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata usaha itu tidak terhenti di situ sahaja, malah akan diperluas bagi menangani masalah sama bagi pelajar di peringkat pengajian tinggi.

“Pendidikan adalah hak asasi setiap individu, dan bagi mencapai kejayaan lebih membanggakan, jawatankuasa ini perlukan usaha yang lebih. Hasil pertemuan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan barisan exco pendidikan seluruh negara baru-baru ini, Maszlee berjanji akan memastikan usaha ini tidak akan tergendala,” katanya.

Justeru, Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi berharap kejayaan jawatankuasa dalam menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan itu dapat menjadi panduan kepada negeri lain di seluruh negara.

Menurutnya, masalah itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak demi masa hadapan pelajar terbabit dalam pelajaran. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel