Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

40 pengayuh beca dikesan tidak berlesen di Melaka - Exco


Tarikh kemaskini: 20/05/2019





MELAKA, 20 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berjaya mengesan kira-kira 40 pengayuh beca tidak berlesen yang aktif beroperasi di sekitar bandar raya ini terutama pada waktu malam.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata hasil pemeriksaan mendapati sebahagian daripada mereka merupakan pelajar sekolah yang berumur kurang 18 tahun.

"Setakat ini, kita sudah mengenal pasti kira-kira 40 pengayuh beca tidak mempunyai lesen dan saya berharap agar MBMB mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang beroperasi secara haram ini selain hanya membenarkan pengayuh beca berlesen sahaja beroperasi.  

"Saya mohon kepada semua pengusaha beca agar menjaga nama baik beca Melaka, pastikan tiada yang melanggar peraturan," katanya ketika berucap pada Majlis Bacaan Yassin dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pengayuh beca di Bandar Hilir, di sini hari ini. 

Pada majlis itu, lebih 300 pengayuh beca sekitar bandar raya ini menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan makanan sebagai persiapan awal menyambut Aidilfitri

Muhamad Jailani berkata sebanyak 12 aduan diterima tahun lepas mengenai pengayuh beca iaitu lapan daripadanya membabitkan pencemaran bunyi muzik yang dipasang pada kenderaan terbabit yang didakwa mengganggu ketenteraman pelancong dan rumah ibadat.

"Selebihnya merupakan aduan melibatkan kes pergaduhan sesama pengayuh beca dan caj bayaran yang tinggi kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan tersebut," katanya. 

Beliau berkata sehubungan itu pengayuh beca digesa menghormati semua pihak dengan memasang lagu pada tahap berkesesuaian semasa membawa penumpang selain menutupnya ketika melalui mana-mana lokasi rumah ibadat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel