Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Kewangan tuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta daripada NFCorp


Tarikh kemaskini: 20/05/2019





 

 

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MoF) sedang menuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat, yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) pada 2008. 

Menterinya, Lim Guan Eng berkata tuntutan mahkamah akan dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap syarikat itu yang masih berhutang RM253.6 juta kepada kerajaan.

Beliau berkata Notis Pengisytiharan Berlaku Keingkaran yang selaras dengan Klausa 14 Perjanjian Pinjaman di antara Kerajaan Persekutuan dan NFCorp telah dikeluarkan pada September 2014 dan perkara ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Peguam Negara sedang meneliti perkara itu dan akan mengumumkan perkembangan terkini jika ada,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

MoF menekankan bahawa NFCorp telah menerima kemudahan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan pada 9 Jan 2008 dengan kadar faedah sebanyak dua peratus serta tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh selama tiga tahun. 

Pinjaman itu dijamin oleh debentur yang ditandatangani bersama-sama dalam perjanjian pinjaman pada 6 Dis 2007.

“Berdasarkan penyata lengkap pinjaman Kerajaan Persekutuan sehingga 30 April 2019 dari Jabatan Akauntan Negara, jumlah baki pinjaman (terhutang) oleh NFCorp kepada kerajaan adalah sebanyak RM253.62 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat sehingga 30 April 2019. 

“Dari jumlah tersebut, RM110.84 juta adalah jumlah terhutang untuk pembayaran balik kepada Kerajaan Persekutuan dari 30 April  2019, terdiri daripada tunggakan pokok pinjaman RM81.99 juta, faedah pinjaman sebanyak RM22.97 juta dan caj faedah lewat berjumlah RM5.89 juta,” kata Lim.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel