Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesawah Keningau perlu manfaat benih TR8 untuk tingkat hasil padi


Tarikh kemaskini: 21/05/2019





KENINGAU, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Pertanian Keningau menyarankan pesawah di daerah ini untuk memanfaatkan sepenuhnya penggunaan benih Tuaran Rice 8 (TR8) bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran beras memandangkan benih padi varieti itu mampu memberi hasil sehingga lima tan sehektar.

Pegawai Pertanian Kanannya, James Sikah berkata penggunaan benih padi TR8 itu perlu dikembangkan sebagai tanaman komersil dalam kalangan pesawah di Keningau kerana benih padi varieti berkenaan memiliki kekebalan penyakit selain mampu mengeluarkan hasil tinggi berbanding benih padi varieti lain.

"TR8 mampu menghasilkan (padi) kira-kira lima tan sehektar dan ini adalah perolehan hasil sangat besar ketika ini. TR8 juga memiliki prestasi baik terutama dari segi hasil, sifat agronomi dan ciri kualiti (citarasa) makanan," katanya kepada Bernama, di sini.

TR8 turut dikenali sebagai padi Seri Aman dihasilkan di Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa di Filipina melalui kacukan sehala antara IR 24594-204-1-3-2-6-2 dengan IR 28222-9-2-2-2-2.

James berkata, Unit Padi Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran memperoleh sumber padi itu pada 1995, dan potensinya diperakui untuk dibangunkan sebagai tanaman komersil selepas melalui siri kajian kesesuaian.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian Sabah mempunyai sekurang-kurangnya 21 varieti benih padi yang diperkenalkan kepada pesawah tempatan, dan jabatan itu mendapati TR8 adalah benih padi bernilai tinggi.

Mengulas lanjut, James berkata, pihaknya optimis untuk mencapai sasaran pengeluaran hasil padi sehingga 10 tan sehektar sekiranya infrastruktur pengairan sawah terbaik dan efisien dapat disediakan sekali gus membantu melonjakkan lagi pendapatan pesawah.

Menurutnya, keluasan fizikal tanaman padi sawah dikenal pasti berpotensi di Keningau ialah sekitar 12,000 hektar, namun, hanya 9,000 hektar sahaja yang dapat diusahakan berikutan infrastruktur serta sistem pengairan sawah tidak baik.

"Kita mampu maju ke hadapan (dalam sektor pengeluaran padi beras) jika semua infrastruktur (pengairan terbaik) tersedia dan saya juga percaya pesawah mampu meraih pendapatan jauh lebih besar berbanding sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, James berkata, pihaknya sedang giat memperkenal kaedah penanaman padi dua kali setahun bagi memberi pendapatan berganda kepada pesawah di Keningau, selain proaktif melaksanakan projek pemulihan tanah terbiar untuk penanaman padi menggunakan benih TR8.

Para pesawah di Keningau digalakkan menggunakan benih padi varieti TR8, namun, mereka juga tidak dihalang menggunakan benih padi varieti lain, katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel