Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Amaran akhir pada pengusaha kilang sawit dan ternakan ayam, berhenti cemarkan Sungai Johor


Tarikh kemaskini: 21/05/2019




ISKANDAR PUTERI, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri hari ini memberi “amaran terakhir” kepada pengusaha ladang kelapa sawit dan ternakan ayam yang beroperasi sekitar kawasan Sungai Johor supaya bertanggungjawab dan memastikan pencemaran sungai berkenaan tidak berulang lagi.

“Amaran” itu disampaikan ketika satu sesi dialog bersama kira-kira 30 pengusaha kelapa sawit dan ternakan ayam bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti  Jimmy Puah Wee Tse dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, pagi tadi.

Puah berkata dalam sesi dialog yang berlangsung selama sejam itu, rata-rata pengusaha yang hadir menerima dan sedia maklum dengan ketetapan dan pendirian kerajaan negeri yang mahukan episod pencemaran Sungai Johor berakhir.

“Kita nak sampaikan kepada mereka yang kerajaan sekarang ini adalah sangat-sangat tegas. Ini amaran terakhirlah. Kita tidak akan kompromi lagi dengan apa-apa pencemaran di Sungai Johor lagi,” kata beliau kepada pemberita di Bangunan Dato’ Jaafar  Muhammad, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Menurut beliau, ini adalah penting memandangkan Sungai Johor merupakan pembekal utama tujuh loji rawatan air (LRA) dan menyumbang kepada hampir 50 peratus bekalan air di Johor Selatan, melibatkan  396,809 akaun atau hampir dua juta pengguna.

“Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Johor, pada 2018 ada satu insiden pencemaran manakala tahun ini sahaja ada tiga insiden pencemaran, di mana saya rasa sudah terlalu banyak,” kata Puah.

Puah berkata kerajaan negeri juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang mencemar Sungai Johor di bawah Seksyen 7 Enakmen Air 1921 (pindaan 2014) dan Seksyen 7A Enakmen Air.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Pengusaha sawit dan ternakan ayam perlu mengawal selia untuk jaga alam sekitar dan sekiranya, kita dapati ada unsur-unsur kecuaian lagi pada masa akan datang, kerajaan negeri akan guna kuasa undang-undang,” kata beliau.

Buat masa ini, terdapat lapan kilang sawit yang dikenalpasti beroperasi di lembangan Sungai Johor serta 15 ternakan ayam di daerah Kulai, tiga ternakan ayam di Kota Tinggi dan sembilan ternakan ayam di Kluang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel