xtvtwxgfLpI Almarhum Sultan Ahmad Shah presiden tegas, penyayang - Hamidin
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Almarhum Sultan Ahmad Shah presiden tegas, penyayang - Hamidin


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah seorang Presiden yang tegas dan cintakan bola sepak, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin yang pernah berkhidmat bersama Almarhum Sultan Ahmad Shah bermula 1995 hingga 2015, ketika baginda sebagai Presiden FAM pada masa itu, berkata di sebalik ketegasannya, Almarhum juga seorang yang penyayang kepada kakitangan dan pegawainya.

“Satu kehilangan besar buat bola sepak tanah air. Baginda seorang Raja yang benar-benar penyayang. Saya kenal Almarhum sejak jadi Exco FAM pada 1995, kemudian pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden (2010-2013) dan Setiausaha Agung (2013-2015) di bawah kepimpinan baginda.

“Ada masanya Almarhum tegas dan ada masanya penyayang. Almarhum seorang Presiden yang tegas dalam setiap keputusan yang dibuat oleh FAM dan cintakan bola sepak. Ini kerana bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini, Almarhum sangat komited terhadap sukan bola sepak dan memegang jawatan (sebagai Presiden FAM)  untuk jangka masa yang lama,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Almarhum yang mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 8.50 pagi tadi pada usia 88 tahun, merupakan presiden paling lama memegang pucuk kepimpinan FAM, selama 30 tahun bermula 1984 hingga 2014.

Almarhum Sultan Ahmad Shah juga pernah mencurahkan khidmatnya kepada pembangunan bola sepak di peringkat antarabangsa, terutama di rantau Asia apabila memegang jawatan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bermula 1994-2002 dan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bermula 2011-2019.

Baginda, bagaimanapun tidak dicalonkan semula pada Kongres AFF di Siem Reap, pada Mac lalu berikutan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan berkata di bawah kepimpinan Almarhum Sultan Ahmad Shah, pertandingan bola sepak tempatan melalui satu evolusi pesat, bermula dengan liga semi-pro diperkenalkan pada 1989 sebelum menjadi profesional pada 1996 dan ditransformasikan kepada Liga Super pada 2004.

“Dalam tempoh tiga dekad itu juga, Almarhum Sultan Ahmad Shah menjadi saksi kepada beberapa kejayaan skuad negara, termasuk meraih pingat emas Sukan SEA 1989, Pestabola Merdeka 1993, emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta kemenangan Piala AFF Suzuki 2010.

“Almarhum juga memastikan Malaysia disegani di mata dunia dengan mendapat penghormatan menjadi tuan rumah Piala Dunia Belia FIFA pada 1997. Almarhum antara tokoh yang menuntut penambahan kuota untuk benua Asia dalam saingan Piala Dunia FIFA pada 2002, susulan krisis pada 1999 apabila delegasi AFC memulau mesyuarat Kongres FIFA di Los Angeles.

 “Almarhum yang menjadi Presiden AFF dari 2011-2019, dengan kejayaan menjadikan Piala AFF Suzuki sebagai aset terbesar persekutuan itu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Sultan Ahmad Shah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih skuad Liga Super Pahang, Dollah Salleh yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan dari 1984-1996, dan Pahang pada 1991-1996, berkata bola sepak tanah air kehilangan seorang pemimpin yang tiada tolok bandingannya.

“Kita kehilangan permata yang tidak boleh diganti. Saya dan rakan sepasukan, Zainal Abidin Hassan terutamanya mempunyai begitu banyak pengalaman bersama Tuanku. Baginda seorang individu yang baik,” katanya dengan nada sebak.

“Kadang-kadang Baginda akan datang jumpa kami (pemain) selepas perlawanan dan bergurau dengan kami,” kata bekas jurulatih skuad kebangsaan itu.

Turut berkongsi kesedihan adalah Ketua Jurulatih skuad Bawah-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, yang memuat naik gambar ketika Almarhum melawat pasukan Harimau Muda, di laman Instagram beliau.

“Tujuh tahun lalu selepas Harimau Muda tewas 1-5 kepada pasukan Hungary, Ferencvaros FC dalam aksi persahabatan, Presiden FAM ketika itu, Sultan Ahmad Shah datang melawat kami.

“Masih ingat kata-katanya – ‘Tidak mengapa tewas 5-1. Ini antara perlawanan dan pihak lawan yang kita perlu hadapi. Kita perlu terus lakukan perkara yang betul.’ Terima kasih untuk segalanya. RIP,” katanya.

Almarhum juga penerima anugerah “AFC Diamond of Asia 2011” sebelum dianugerah “FIFA Order of Merit” atas sumbangan sepanjang hayat baginda dalam arena bola sepak pada 2012.

Selain bola sepak, Almarhum turut menggemari polo, hoki, badminton dan golf, di mana kesungguhan baginda ketika bersama kontinjen negara pada Sukan Olimpik di Los Angeles, Seoul, Barcelona dan Atlanta adalah bukti kukuh baginda adalah sememangnya peminat sukan nombor satu negara.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel