Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hasrat sekeluarga bercuti di Langkawi tidak kesampaian apabila ketua keluarga maut


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





BATU PAHAT, 22 Mei (Bernama) -- Hasrat sekeluarga dari Kampung Sungai Punggur, Rengit, di sini untuk bercuti ke Pulau Langkawi, Julai depan tidak kesampaian apabila ‘ketua keluarga’ berkenaan maut dalam kemalangan jalan raya, minggu lepas.

Balu kepada mangsa, Jamaliah Kardi, 30, berkata suaminya, Allahyarham Mohamad Norhasrul Hashim, 34, terlibat dalam kemalangan di KM94 Jalan Johor Bahru-Melaka, berhampiran Rengit, kira-kira 5 petang, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah.

Jamaliah berkata kemalangan pada 15 Mei itu membabitkan sebuah van yang dinaiki Mohamad Norhasrul dengan sebuah lori dan bas.

“Sebelum kemalangan, arwah beria-ia untuk membawa saya dan tiga anak kami, Mohamad Amirul Fattah, 5, Nur Amina Fateha, 3, dan Nur Aatiq Farha, lapan bulan untuk bercuti ke Langkawi.

“Persiapan untuk ke sana (Langkawi) sudah diuruskan arwah sejak Januari lagi dan kami sekeluarga cukup gembira...namun, tidak kesampaian apabila dia pergi selama-lamanya,” katanya.

Jamaliah ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Punggur pada majlis penyerahan bayaran pampasan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Batu Pahat, yang disampaikan Anggota Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon.

Turut hadir, Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat Suhara Mustafa.

“Walaupun kami sekeluarga terasa kehilangan arwah suami, termasuklah anak-anak yang kerap bertanya, namun saya reda dengan pemergiannya… lebih-lebih lagi dia sering memberikan nasihat kepada saya agar menerima setiap ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Suhara berkata Jamaliah layak menerima bayaran pampasan daripada Perkeso kerana dia merupakan Orang Berinsuran (OB) dan layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

“Balu kepada OB ini juga layak menerima bayaran atau Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM2,070 sebulan dan akan mula dibayar mulai bulan depan.

 “Bagi bayaran FOT, ia akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu untuk isteri dan juga anak OB, yang mana syer untuk isteri adalah seumur hidup, manakala untuk anak pula akan dibayar sehingga umur 21 tahun atau sehingga tamat pengajian di peringkat ijazah pertama,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel