lGi8Pg90-Z0 Jenazah Sultan Ahmad Shah diterbangkan ke Pahang
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jenazah Sultan Ahmad Shah diterbangkan ke Pahang


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kenderaan yang membawa jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah meninggalkan perkarangan Istana Negara pada 5.05 petang tadi.

Van jenazah khas membawa keluar jenazah Almarhum melalui pintu 1 Istana Negara  menuju ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, sambil diiringi kenderaan peronda polis dalam cuaca hujan lebat.

Setibanya di pangkalan itu, jenazah Almarhum diterbangkan menaiki sebuah pesawat khas ke Istana Abu Bakar, Pekan di Pahang, untuk dimakamkan di Makam Diraja Pekan selepas solat Zohor esok.

Terdahulu, kenderaan membawa jenazah Allahyarham tiba di Istana Negara kira-kira 11.20 pagi setelah baginda mangkat di Institut Jantung Negara pada 8.50 pagi tadi.

Antara pemimpin tertinggi kerajaan dan orang kenamaan yang kelihatan hadir di Istana Negara memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum adalah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, kerabat diraja yang turut hadir adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sementara pemimpin kerajaan yang turut kelihatan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, 88, merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menyerahkan takhta kepada anakandanya Sultan Abdullah pada 12 Jan lalu.

Baginda juga pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan pernah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Sept 1975. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel