Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekas Pengerusi Hamas temui Dr Mahathir


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Bekas Pengerusi pergerakan Hamas, Khalid Meshaal hari ini menemui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi berbincang mengenai perjuangan dan keadaan semasa di Palestin.

Perbincangan antara delegasi lapan anggota Hamas yang diketuai Khalid dan Dr Mahathir berlangsung selama kira-kira sejam.

Khalid yang ditemui wartawan selepas pertemuan itu berkata Hamas mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir atas layanan mesra yang diberikan terhadap kehadiran mereka, di samping menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri terhadap sokongannya yang berterusan kepada perjuangan Palestin bagi menamatkan pendudukan Israel di negara itu.

“Keganasan Israel di Jerusalem (dibincang), dan tindakan mereka mengubah identiti bandar suci Jerusalem, membawa kesengsaraan penduduk Gaza yang terpaksa berhadapan dengan serangan, kebuluran, sekatan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid berkata Hamas turut menyampaikan harapan mereka agar Dr Mahathir sebagai pemimpin kanan Ummah Muslim, memainkan peranan dalam menamatkan keganasan terhadap penduduk Palestin, terutama di Semenanjung Gaza.

“Kami juga berbincang mengenai tawaran 'deal of the century' yang dikemukakan Amerika Syarikat bagi menamatkan perjuangan Palestin dan usaha mereka menyelesaikan isu-isu di palestin dengan cara yang tidak adil,” tambahnya.

Beliau mendakwa bahagian ekonomi dalam tawaran itu yang akan diumumkan di Bahrain bulan depan disasar untuk mengalih perhatian orang ramai daripada perjuangan sebenar Palestin.

Khalid berkata perjumpaan itu juga memberikan peluang terbaik baginya untuk memberitahu rakyat Malaysia melalui media tempatan bahawa rakyat Palestin tegas dan menentang pendudukan, serta pendirian mereka yang kukuh mengenai tanah air mereka.

“Kami mengharapkan sokongan daripada rakan-rakan, pemimpin Ummah Muslim dan seluruh dunia dalam usaha mendapatkan kembali hak-hak kami, dan menolak pendudukan Israel,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel