Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Matrikulasi: Pertikaian berterusan boleh jejas tumpuan warga pendidik - KP Pelajaran


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) – Perdebatan dan pertikaian mengenai isu kemasukan pelajar ke matrikulasi boleh menjejaskan tumpuan warga pendidik sebagai penjawat awam untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Amin Senin.

Katanya pertikaian yang berterusan melibatkan pelbagai pihak selepas sahaja keputusan Jemaah Menteri dibuat berkaitan dengan kuota 90:10 kemasukan pelajar (Bumiputera/bukan Bumiputera) ke matrikulasi sehingga melampaui batas adab dan kesopanan adalah tidak sesuai dalam dunia pendidikan.

“Oleh itu kami percaya sebagai Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik wajar dan berhak mempertahankan keputusan Jemaah Menteri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Oleh yang demikian, Dr Amin berkata warga pendidik dalam Kementerian Pendidikan bertanggungjawab terus untuk mempertahan dan melaksanakan dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan, dan dilaksanakan sepenuh dan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.

Di KOTA KINABALU, keputusan Jemaah Menteri menetapkan kuota 90:10  kemasukan pelajar matrikulasi ke institusi pengajian tinggi turut mendapat sokongan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin. 

Menegaskan demikian beliau berkata kuota bagi program itu masih relevan dan terbukti berjaya meningkatkan bilangan pelajar Bumiputera melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda di universiti awam khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan. 

“Dalam konteks negeri Sabah, program matrikulasi penting dan relevan sebagai laluan alternatif pelajar Bumiputera dari pelbagai etnik (termasuk yang berdarah campuran atau “sino”) mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di universiti, termasuklah di UMS,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, kesangsian tentang program ini sewajarnya dihentikan demi menjaga keharmonian negara kita.

“Kita perlu beri tumpuan untuk memberi pengalaman serta pengetahuan yang holistik kepada semua pelajar yang berjaya mendapat tempat di universiti ke arah menghasilkan graduan yang 'future-ready' di zaman Industri 4.0,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel