Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka bakal berdepan catuan air jika tiada hujan sehingga 15 Jun depan


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





MELAKA, 22 Mei (Bernama) -- Rakyat negeri Melaka bakal berhadapan catuan bekalan air sekiranya negeri itu tidak menerima hujan sehingga 15 Jun depan, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri telah melaksanakan proses pembenihan awal pada minggu lepas, hujan hanya berlaku di luar kawasan tadahan air.

Katanya situasi itu tidak menyumbang pada peningkatan paras air di Empangan Durian Tunggal yang kini mencatatkan bacaan 37.8 peratus.

"Setakat ini, Empangan Durian Tunggal paling  terjejas iaitu paras air berada pada bacaan 37.8 peratus berbanding Empangan Jus (66.4 peratus) dan Empangan Asahan (62.5 peratus).

"Buat masa ini ia masih belum sampai ke tahap untuk mencatu bekalan air, namun sekiranya hujan tidak turun sehingga 15 Jun depan dan usaha yang dilakukan tidak berhasil maka catuan terpaksa dibuat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri akan terus melakukan beberapa pelan kontingensi bagi meningkatkan paras air di Empangan Durian Tunggal dan memastikan bekalan air di negeri itu mencukupi terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya antara langkah yang dilakukan ialah memohon bekalan air mentah tambahan daripada kerajaan negeri Johor melalui Sungai Gersik untuk dipam ke Empangan Durian Tunggal.

Adly berkata bekalan air di Empangan Jus juga akan dipam ke Empangan Durian Tunggal agar paras air dapat ditingkatkan sekali gus menampung keperluan penduduk khususnya di daerah Melaka Tengah.

Dalam perkembangan lain, katanya kerajaan negeri akan mengkaji semula model perniagaan bazar Ramadan di negeri itu bagi memastikan peniaga dapat bersaing secara sihat.

"Secara dasarnya kerajaan negeri bersikap terbuka dalam penganjuran bazar Ramadan di negeri ini dan jumlah peniaga meningkat berbanding tahun sebelum ini tetapi kita menerima pelbagai aduan, keluhan dan cadangan daripada rakyat terutama peniaga," katanya.

Beliau berkata lokasi penganjuran tapak bazar Ramadan dan jumlah peniaga di sesuatu kawasan juga akan dilihat kembali bagi mengurangkan impak negatif kepada peniaga khususnya daripada aspek keuntungan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel