Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MFL tidak ada agenda tertentu dalam isu lambat serah geran tahunan - TMJ


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pihaknya tidak mempunyai agenda tertentu berhubung isu geran tahunan lambat diserahkan kepada semua pasukan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M).

Baginda bertitah apa yang diketahuinya, MFL hanya memiliki satu sahaja agenda iaitu memajukan industri bola sepak tanah air dan oleh itu, tidak timbul soal ia mempunyai agenda lain seperti didakwa pihak tertentu.

“Sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri bola sepak tanah air berhak untuk bertanya (mengenai isu geran) tetapi apabila bertanya jangan pula ada buat spekulasi, macam contoh mengatakan ada ke agenda lain di dalam MFL?

“MFL ada satu sahaja agenda iaitu untuk memajukan bola sepak tanah air. Itu satu-satunya agenda MFL ada,” titahnya dalam sidang media, di sini hari ini.

Titah baginda MFL tidak bermaksud untuk lambat dalam pembayaran kerana ia sedikit ‘tergugat’ selepas berdepan dengan penamatan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia.

Tunku Ismail bertitah bagaimanapun perkara itu tidak akan digunakan sebagai alasan kelewatan itu dan MFL akan memastikan geran tahunan itu diserahkan kepada pasukan bertanding. 

“Macam mana pun, kami kena serahkan tahun ini… Ini adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada MFL,” katanya.

Baginda mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan MFL selaku pengendali Liga M mempunyai agenda tersendiri apabila melambatkan penyerahan geran tahunan kepada semua pasukan.

Tunku Ismail bertitah melihat keadaan semasa itu, terdapat keperluan untuk MFL mencari penaja daripada luar negara jika mahu melihat industri bola sepak tanah air terus berkembang.

“Kita kena cari penaja daripada luar negara supaya MFL boleh terus memberikan geran kepada pasukan-pasukan lain dan MFL sedang bekerja keras dalam hal ini,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel