Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kejatuhan harga saham : Perbicaraan tertumpu kepada rekod panggilan telefon 


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 22 Mei (Bernama) -- Perbicaraan bersama melibatkan seorang ahli perniagaan rakyat Malaysia berhubung kejatuhan harga saham pada 2013 hari ini tertumpu kepada lembaran data yang menunjukkan ketidakpadanan dengan arahan yang diberikan melalui telefon dan transaksi perdagangan.

Pada hari ke-19 perbicaraan bersama itu, peguam Narayanan Sreenivasan yang mewakili John Soh menarik perhatian tentang beberapa kali tidak ada panggilan telefon dari Soh kepada peniaga sedangkan urusniaga dijalankan.

Sreenivasan menimbulkan perkara itu semasa pemeriksaan balas saksi ke-11 Ong Kah Chye, peniaga di Maybank Kim Eng Securities Pte Ltd di hadapan Hakim Hoo Sheau Peng.

Ong adalah wakil perdagangan untuk empat akaun dagangan milik dua individu iaitu Peter Chen dan Tan Boon Kiat, serta dua syarikat, Magnus Energy Group dan Friendship Bridge Holding.

Melalui semakan ke atas lembaran data, Sreenivasan menarik perhatian pada satu ketika apabila urus niaga dijalankan pada "hari yang sama, kaunter sama menggunakan dua akaun, satu dengan panggilan telefon, satu tanpa panggilan telefon."

Sreenivasan: Apabila anda memberi atau melihat dokumen-dokumen ini (lembaran data) untuk kali pertama, adakah anda menunjukkan kepada sesiapa sahaja bahawa terdapat dagangan yang dijalankan tanpa panggilan telefon?

Ong: Ya.

Sreenivasan: Sekarang, jika ada perdagangan dijalankan tanpa panggilan telefon dari John Soh, adakah anda bersetuju bahawa ada kemungkinan arahan bagi perdagangan itu mungkin dari orang lain?

Ong: Setahu saya, selain John tidak ada orang lain yang dipanggil selama tempoh itu dan, lebih-lebih lagi,  ada kemungkinan bahawa arahan telah diberikan kepada saya lebih awal. Saya tidak dapat mengingatinya, tetapi saya fikir saya telah menarik perhatian kepada pegawai penyioasat bahawa ada dagangan yang dijalankan tidak dapat dipadankan dengan panggilan telefon.

Sreenivasan: Ia tidak terkandung dalam kenyataan bersyarat anda, bukan?

Ong: Ya.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Peter Koy, lembara data itu "bukan rekod komprehensif mengenai semua panggilan bagi setiap nombor."

"Terdapat batasan. Sesetengah panggilan tidak dirakam dalam data tersebut dan sebagai contoh landline ... ia hanya berdasarkan nombor yang kita tahu dan berdasarkan rekod panggilan telefon yang ada. "

Soh dan tertuduh kedua, Quah Su-Ling mengaku tidak bersalah, masing-masing terhadap 189 dan 178 pertuduhan berhubung kejatuhan harga saham Asiasons, Blumont dan LionGold enam tahun lalu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel