Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelbagai persatuan alumni UiTM disasar bergabung


Tarikh kemaskini: 22/05/2019





SHAH ALAM, 22 Mei (Bernama) -- Pelbagai persatuan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) disasar untuk digabungkan di bawah satu ‘payung besar’ pada masa depan supaya dapat bekerjasama erat demi memberi manfaat kepada institusi itu khususnya para pelajar.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata setakat ini, universiti berkenaan mempunyai lebih 700,000 alumni di bawah pelbagai persatuan dan kekuatan itu jika diperkukuh, mampu menjana banyak kebaikan kepada semua pihak.

“UiTM ada banyak persatuan alumni, ada daripada negeri, ada daripada fakulti dan sebagainya. Disebabkan itu, antara matlamat kami tahun ini adalah untuk menyatukan kesemua persatuan ini supaya dapat menggembleng tenaga bekerjasama dengan pihak universiti.

“Saya sendiri sudah berjumpa dengan pengurusan (universiti) dan persatuan alumni di negeri-negeri dan sebagainya, supaya kita adakan program menggembleng kekuatan semua alumni. Jika kekuatan 700,000 alumni diperkukuh, pastinya kita dapat mencapai apa juga sasaran demi kebaikan UiTM,” katanya kepada pemberita, malam ini.

Beliau ditemui pada majlis iftar dan penyampaian sumbangan Ramadan kepada 100 pelajar asnaf fakir dan miskin daripada dua kampus universiti itu anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) di sini.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Presiden PAUiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan.

Dalam pada itu, Syed Zainal Abidin berkata UiTM juga akan melancarkan satu portal baharu tahun ini bagi menarik para alumni untuk kembali menyumbang kepada institusi itu antaranya berkongsi pengalaman dalam industri masing-masing supaya dapat menjadi aspirasi kepada para pelajar pada masa depan.

Mengulas mengenai sumbangan pada majlis berkenaan, beliau berkata sehingga kini 800 pelajar asnaf telah menerima bantuan Ramadan berupa wang tunai menerusi dana TP1B yang diwujudkan PAUiTM sejak lapan tahun lepas.

“Pelajar-pelajar asnaf yang dipilih oleh UiTM adalah mereka tidak pernah lagi menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak kerana pelajar daripada golongan keluarga B40 di universiti ini adalah tinggi.

“Kira-kira 40 peratus atau 64,000 orang daripada 160,000 pelajar UiTM di pelbagai kampus terdiri daripada golongan keluarga B40. Kerjasama PAUiTM dengan pihak universiti ini antara contoh alumni memberi sumbangan kepada golongan memerlukan dan diharap dapat dipererat supaya lebih banyak pelajar asnaf dibantu pada masa depan,” katanya.

Pada majlis iftar itu juga, para alumni, jemputan serta pelajar yang menerima sumbangan mengadakan bacaan tahlil di atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Almarhum Sultan Abu Bakar hari ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel